Potongan 30% cukai taksiran untuk rumah Putrajaya bermula tahun 2023
Kerajaan telah memutuskan untuk memberikan pengurangan 30% dalam cukai taksiran untuk rumah di Putrajaya yang bernilai di bawah RM300,000, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan, Anwar berkata ini adalah selaras dengan matlamat kerajaannya untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat Malaysia, khususnya mereka dalam golongan B40 dan M40 yang memiliki rumah mampu milik di Putrajaya.
“Potongan 30% ini diberikan kepada premis kediaman yang telah siap sejak 2017, melibatkan hampir 8,500 unit kediaman.
“Pengurangan ini akan berkuat kuasa mulai 1 Jan dan sehingga ia disemak oleh Perbadanan Putrajaya,” katanya.
Anwar juga berkata beliau telah menerima banyak aduan daripada penduduk Putrajaya bahawa cukai taksiran hartanah kediaman yang dikenakan ke atas mereka adalah “agak tinggi” berbanding kawasan sekitar.
Cukai taksiran hartanah dikutip oleh majlis tempatan. Dana itu kemudiannya digunakan untuk membangunkan dan menyelenggara infrastruktur dan perkhidmatan tempatan.
Perbadanan Putrajaya adalah pihak berkuasa tempatan yang menguruskan pentadbiran ibu kota dan ia terletak di bawah bidang kuasa kementerian wilayah persekutuan.