Nasionalpilihan

Suasana pilu selubungi empat keluarga maut di Batang Kali, Selangor

Suasana sedih menyelubungi sebuah keluarga di Taman Machap Indah, Machap Baru dekat sini hari ini selepas menerima mayat tiga daripada empat ahli keluarga yang maut dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor baru-baru ini.

Kira-kira pukul 3.45 petang, kereta jenis Toyota Alphard yang membawa pasangan suami isteri Lai Chee Sam, 33, isterinya, Lai See Ting dalam lingkungan 30-an serta anak lelaki, Jonas Lai Ze Kai, 2, tiba di rumah mangsa disambut jiran dan ahli keluarga.

Foto empat sekeluarga yang maut dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor baru-baru ini Lai See Ting (dari kiri), Lai Chee Sam, Jonas Lai Ze Kai dan Giselle Lai Yu Xi.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa terbabit enggan ditemui pemberita yang berkumpul di luar kawasan rumah sejak pukul 2.00 petang.

Ketua Kampung Machap Baru, Michael Thai berkata, anak perempuan pasangan itu, Giselle Lai Yu Xi, 6, telah dibakar di tanah perkuburan Cina Kesang, Jasin, petang semalam.

Menurutnya, tiga mayat yang tiba hari ini akan dibakar di tanah perkuburan Kesang, Jasin pada 27 Disember ini.

“Seluruh ahli keluarga mangsa sangat bersedih dengan peristiwa yang menimpa anak, menantu serta dua cucu mereka.

“Saya mengenali pasangan ini dan tidak menjangka percutian mereka di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor merupakan tragedi yang tidak dapat dilupakan.

“Ahli keluarga mangsa masih tidak dapat menerima hakikat mereka kehilangan empat ahli keluarga sekali gus,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Turut hadir menziarah keluarga mangsa ialah Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritenden Arshad Abu.

Dalam kejadian tersebut, Chee Sam dijumpai dan disahkan meninggal pada 18 Disember lalu sementara isteri dan anak lelakinya berumur dua tahun ditemui keesokan hari (19 Disember) manakala anak perempuannya pada malam semalam (21 Dis).

Empat sekeluarga itu adalah antara 30 mangsa yang maut dalam bencana tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi, Jumaat lalu manakala 61 terselamat dan tiga daripada 94 mangsa terlibat masih hilang setakat ini. – SM

(Visited 649 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button