Polis tidak tolak kemungkinan individu pegang dua kerakyatan masuk Sabah mengundi
PRN Sabah
KEMUNGKINAN beberapa individu dari negara jiran yang memiliki dua kewarganegaraan akan masuk ke Sabah untuk mengundi dan membuat kekacauan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini tidak boleh dinafikan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, terdapat desas-desus mengatakan kumpulan itu mempunyai agenda untuk menyokong sesuatu pihak pada PRN Sabah.
Oleh itu, kata beliau, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang masuk ke Sabah semata-mata mahu menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.
“Sekiranya kita dapat tangkap mereka ini dan mendapati sah mereka ada dua kerakyatan, kita akan batalkan kad pengenalan mereka serta mengusir individu berkenaan keluar dari Malaysia.
“Janganlah sesekali cuba untuk mengganggu-gugat proses demokrasi di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal PRN Sabah di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.
Bagaimanapun kata Abdul Hami, 270 pegawai dan anggota polis di Sabah tidak dapat mengundi awal hari ini kerana terpaksa melalui proses kuarantin.
Sebanyak 16,877 pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.
Pusat-pusat pengundian di buka mulai pukul 8 pagi tadi membabitkan 55 pusat. Pengundi awal itu terdiri daripada 7,487 anggota tentera dan 9,390 anggota polis termasuk pasangan mereka yang layak mengundi.
“Ada mereka yang berada di Lahad Datu dan ada juga di Kota Kinabalu. Mereka dikuarantin kerana telah terlibat dalam operasi menangkap warga asing yang kemudiannya disahkan positif Covid-19,” kata Abdul Hamid.
“Saya harap semua pegawai dan anggota polis segera keluar mengundi kerana saya lihat cuaca bila-bila masa sahaja akan hujan. Lebih awal datang, lebih baik,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau meminta orang ramai agar sentiasa berjaga-jaga dengan ancaman Covid-19.
“Jangan terlalu ghairah untuk pergi mendengar kempen sehinggakan lupa tentang ancaman lebih besar iaitu Covid-19 kerana dalam beberapa hari ini, jumlah jangkitan Covid-19 di Sabah meningkat dengan tinggi sekali,” katanya. – SM