Nasional

Polis cedera ditumbuk warga Indonesia bersiar-siar ketika PKP

SEORANG anggota polis cedera dipercayai dipukul seorang warga Indonesia ketika membuat sekatan jalan raya bagi pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di Presint 14, hari ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Rosly Hassan berkata kejadian berlaku ketika anggota polis itu memanggil suspek yang berjalan kaki melalui sekatan jalan raya.

“Semasa suspek mendekati pegawai polis itu, tiba-tiba suspek terus menyerang dengan menumbuk sebanyak 2 ke 3 kali dan terkena bahagian kening mata sebelah kiri anggota,” katanya kepada media di Putrajay seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Beliau berkata, anggota polis terpaksa menggunakan kekerasan minimum ketika hendak menangkap suspek yang melawan sehingga berlaku pergelutan.

“Suspek mengalami sedikit kecederaan, iaitu calar pada bahagian muka dan pemeriksaan ke atas suspek didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.”

Rosly berkata, siasatan awal juga mendapati suspek keluar rumah hanya untuk berjalan-jalan dan tidak dapat menyatakan lokasi ditujunya.

Katanya, suspek ditahan kerana mendatangkan kecederaan kepada anggota, menghalang penjawat awam menjalankan tugas, melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan untuk siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Ini merupakan kali pertama dilaporkan anggota polis dipukul kerana melaksanakan PKP.

Sebelum ini, seorang pegawai kanan dan empat anggota polis trafik Kuala Lumpur cedera di beberapa bahagian badan selepas dirempuh sebuah lori ketika membuat sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur.

Kejadian berlaku ketika sepasukan pegawai dan anggota trafik itu sedang bersiap untuk menutup sekatan jalan raya di jalan berkenaan apabila sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) dan beberapa motosikal milik anggota polis trafik itu.

Hasil siasatan mendapati lori itu dipercayai telah hilang kawalan ketika berada di lorong kiri laluan kedua-kedua kenderaan polis trafik yang diletakkan di bahu jalan untuk tujuan sekatan jalan raya.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button