Polis cari wanita dera kanak-kanak
POLIS sedang mencari seorang individu bagi membantu siasatan berhubung dua video yang menunjukkan seorang wanita mendera seorang bayi di sebuah taska dipercayai di Mutiara Rini, Johor Bharu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh orang awam yang menerima video berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp.
“Klip itu menunjukkan seorang wanita mendera bayi yang umurnya tidak diketahui,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Rahmat meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil dan menghubungi Ibu Pejabat Polis Iskandar Puteri bagi membantu siasatan.
Video seorang wanita menjerit kepada seorang bayi yang menangis sambil memegang kepala bayi itu tular di media sosial semalam. -SM
BACA JUGA : Mudir, warden dera pelajar tahfiz secara seksual