POLIMAS juara Pidato Perdana Piala Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa
PELAJAR Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah,Jitra, Kedah (POLIMAS) muncul juara Pertandingan Pidato Perdana Piala Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa 2023 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor baru-baru ini.
Muhammad Asyraf Mohd Kahar, pelajar Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah, Jabatan Kejuruteraan Awam membawa pulang wang tunai RM500 berserta Piala Iringan.
Pengarah POLIMAS, Rosli Idris, berkata, ia adalah pencapaian terbaik pelajar dalam pertandingan ini yang pertama kali dianjurkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
Beliau berkata, ini merupakan sejarah kerana pertama kali pelajar POLIMAS berjaya menjadi juara.
“Tanpa usaha dan latihan yang bersungguh-sungguh oleh pelajar dan jurulatih, kejayaan ini tidak mungkin akan tercapai,” katanya dalam kenyataan di sini.
Pensyarah pengiring, Mohd Firdaus Abdul Rashid berkata, kejayaan ini amat membanggakan kerana ini kemenangan pertama POLIMAS.
“Saya amat berterima kasih kepada Muhammad Asyraf kerana berjaya menaikkan imej POLIMAS dimata umum,” katanya.
Katanya, semua pensyarah yang menjadi jurulatih sangat gembira kerana usaha dan latihan yang telah diberikan telah membuahkan kejayaan yang amat membanggakan.
Muhammad Asyraf berkata, beliau bersyukur kehadrat Ilahi dan amat berterima kasih kepada POLIMAS atas kepercayaan memilihnya ke pertandingan ini.
Pertandingan ini diadakan bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar universiti dan politeknik untuk menonjolkan ketokohan mereka dalam berpidato dikalayak ramai.
Seramai lapan peserta dari lima universiti awam dan sebuah politeknik menghantar pelajar untuk menyertai pertandingan ini.
Ketua Pengarah PLANMalaysia, TPr Dr Alias Ramely telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang. – SM