Pokok meranti ganti pokok durian pekebun haram di Raub
KAWASAN 85 hektar yang menjadi ladang durian pekebun haram di Raub akan ditanam dengan pokok balak jenis meranti.
Kerja-kerja menebang dan memusnahkan beribu pokok durian yang ditanam secara haram di atas tanah kerajaan itu akan siap sepenuhnya minggu depan.
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad berkata, kerja-kerja memusnahkan pokok durian berkenaan dilakukan selama lima hari.
Hampir 100 kakitangan JPNP dan anggota Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) menyertai Operasi Pamah untuk memusnahkan ladang haram itu menggunakan mesin gergaji berantai.
“Beberapa spesies pokok hutan sudah dikenal untuk penanaman semula itu antaranya meranti temak nipis,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Keseluruhan kawasan yang diceroboh untuk penanaman pokok Musang King adalah seluas lebih 101 hektar.
Aktiviti menebang mula berjalan lancar pada Selasa lalu terutama selepas kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).
Pasukan tersebut bertanggungjawab mengawal dalam kawasan Hutan Simpan Batu Talam termasuk mengadakan dua sekatan jalan raya (SJR) di laluan masuk ke hutan simpan berkenaan.
Nor Azirim berkata, selepas aktiviti menebang selesai sepenuhnya kerja menanam pokok hutan akan dilakukan segera.
Katanya, beberapa spesies pokok hutan sudah dikenal untuk penanaman semula itu antaranya meranti temak nipis.-SM