Ekonomi

PNS menyokong penuh Pelan Pemulihan Negara

Membantu usahawan serta francais yang terkesan akibat pandemik Covid-19

Perbadanan Nasional Berhad (PNS)  hari ini  menyokong penuh Pelan Pemulihan Negara yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Haji  Mahiaddin Hj Mohd Yasin. 

Mengulas mengenai Pelan  Pemulihan Negara ini, Ketua Pegawai Eksekutif PNS, Mohd Hilaluddin bin Abd Shukor berkata “Pelan ini ternyata menyediakan strategi peralihan keluar yang jelas kepada usahawan-usahawan termasuk usahawan francais untuk merancang aktiviti perniagaan mereka.  Ini bukan sahaja membantu usahawan untuk memulakan semula perniagaan mereka dengan lebih teratur dan secara berperingkat  malah usahawan juga dapat menyusun semula keperluan tenaga kerja industri dengan mengurangkan kebarangkalian risiko yang tinggi.

Pelan ini juga merupakan pelan yang dinamik dan saya yakin  apabila pelbagai pihak memberi kerjasama  dalam mematuhi saranan yang dikeluarkan berdasarkan kepada fasa yang ditetapkan, mudah-mudahan  rantaian jangkitan Covid-19 akan dapat dibendung, dan Malaysia akan dapat mengatasi krisis Covid-19 seterusnya dapat memulihkan ekonomi negara”. 

Dalam usaha membantu usahawan-usahawan terutamanya dari kalangan pelanggannya yang terkesan akibat pandemik Covid-19 ini,  PNS menyediakan pelbagai program dan skim pembiayaan. Antaranya ialah program RECURVE yang menawarkan dana tambahan kepada usahawan bagi memulihkan perniagaan mereka.  Sebanyak RM20 juta diperuntukan bagi tujuan ini yang memberi manfaat kepada lebih 350 orang usahawan francais PNS  sedia ada.

Menurut Mohd Hilaluddin bin Abd Shukor lagi, “kini  PNS sedang giat membangunkan usahawan kecil dan sederhana (PKS) melalui program “Be Your Own Boss’.  Program ini yang dikhususkan untuk golongan wanita dan belia mensasarkan melahirkan 700 usahawan francais baru  pada hujung tahun ini, yang mana ia bertepatan dengan jangkaan tempoh pemulihan ekonomi.  Apabila pandemik Covid-19 ini berakhir dan sektor ekonomi telah dibuka sepenuhnya,  usahawan-usahawan  ini telah bersedia  dalam operasi perniagaan mereka sekaligus akan menyemarakan ekonomi negara”. 

“Saya berpendapat  bahawa Pelan Pemulihan Negara ini  adalah strategi yang bertepatan untuk memastikan ekonomi negara dapat kembali pulih sepenuhnya dalam menangani pandemik Covid-19. Sebagai salah sebuah agensi kerajaan, PNS akan   memberikan kerjasama penuh bagi memastikan pelan itu dapat dilaksanakan dengan jayanya”. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button