Ekonomi

PNB Isytihar agihan pendapatan ASB 5.75 Sen bagi 2024, terbaik dalam 5 tahun

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak  5.75 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB), bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (TK2024).

Jumlah tersebut terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 5.5 sen seunit dan bonus sebanyak 0.25 sen seunit. Jumlah keseluruhan \pengagihan pendapatan sebanyak RM10.1 bilion ini akan memanfaatkan 11.1 juta pemegang unit ASB.

ASB terus memberikan pulangan yang mampan, mengatasi pulangan pasaran serta penanda arasnya iaitu kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank. Bilangan akaun ASB meningkat 2.4% kepada 11.1 juta akaun, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai instrumen simpanan dan pelaburan penting bagi golongan  bumiputera dalam perancangan kewangan mereka.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda, berkata, ”Kami berbesar hati kerana ASB mampu  memberikan agihan dividennya yang paling kukuh sepanjang tempoh lima tahun. Ini meneruskan rekod prestasi kukuh Dana Harga Tetap ASNB berbanding portfolio rujukan mereka, sejajar dengan matlamat PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.”

Pembayaran dividen ASB sebanyak 5.75 sen seunit adalah ketara lebih tinggi berbanding 5.25 sen seunit yang telah dibayar pada tahun 2023, dan menjadikan jumlah dividen yang diagihkan kepada pemegang unit ASB
sejak penubuhannya kepada RM196.5 bilion.

Prestasi ASB yang lebih baik ini adalah didorong oleh impak positif daripada strategi kepelbagaian aset PNB serta faktor pasaran ekuiti awam Malaysia yang kukuh, yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang teguh dan pengukuhan Ringgit.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang sebanyak 5.3% pada suku ketiga 2024 (3Q24 berbanding 3.3% pada 3Q23), dengan sektor utama seperti perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan
menyumbang dengan ketara, dan pengukuhan Ringgit yang meningkat 14.9% dari awal tahun sehingga November 2024 (YTD).

Susulan daripada itu, Bursa Malaysia KLCI meningkat 10.0% YTD24 selepas berhadapan sedekad prestasi lemah dengan 10-tahun KLCI sehingga 31 Disember 2023 sebanyak -22.1%.

“Walaupun di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan perdagangan global yang berterusan, persekitaran makroekonomi Malaysia kekal positif, disokong oleh permintaan domestik yang teguh, kadar faedah yang stabil
dan peningkatan pelaburan asing disebabkan tindak balas kukuh pelabur terhadap inisiatif MADANI kerajaan, termasuk pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara
(NETR) dan program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP),” tambah Raja Arshad.

Tahun ini juga menyaksikan prestasi yang menerajui pasaran oleh Dana Harga Berubah ASNB. Pada penghujung November 2024, berdasarkan jumlah pulangan 1 tahun, semua Dana Harga Berubah ASNB mengatasi
penanda aras masing-masing, dan diletakkan dalam dua kuartil teratas dalam kalangan dana setara mereka dalam segmen masing-masing.

Sebagai contoh, enam dana ASNB Equity telah mencatatkan jumlah pulangan 1 tahun antara 15% dan 33% sehingga 30 November 2024, dengan dana terawalnya, Amanah Saham Nasional (ASN) dan ASN Equity
Malaysia merekodkan pulangan 1 tahun masing-masing sebanyak 23.4% dan 33.2%.

Tahun 2024 juga menyaksikan aset di bawah pengurusan (AUM) PNB meningkat semula kepada RM347 bilion daripada RM337 bilion yang direkodkan pada tahun 2023, dengan bilangan akaun meningkat 3.2% kepada 16.2 juta, dengan ASNB menambah lebih 400,000 pemegang unik baharu dan kini menjadi pelaburan pilihan lebih 13 juta rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun, usaha menggalakkan rakyat Malaysia untuk menabung kekal sebagai cabaran kritikal dengan penyelidikan kajian Soal Selidik Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2024 menunjukkan lebih daripada 40% orang dewasa di Malaysia belum memulakan perancangan kewangan untuk persaraan dan data Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan pertumbuhan simpanan sukarela (tidak termasuk caruman KWSP) adalah kurang daripada 5% dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Bagi menangani cabaran ini, PNB telah menjadikan peningkatan simpanan pelanggannya sebagai tumpuannya di bawah Pelan Strategik baharunya, LEAP 6.

Pelan Strategik itu menggariskan sasaran tinggi untuk meningkatkan AUM PNB kepada RM400 bilion menjelang 2027 melalui pelaksanaan transformasi merentas enam teras utama yang meliputi Jualan & Pengedaran, Pelaburan, Transformasi PNB Co, Pengetahuan, Inovasi dan Kemampanan.

Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad,  berkata, “PNB komited untuk mengembangkan simpanan rakyat Malaysia dengan menggalakkan mereka menyimpan lebih banyak dan menambah simpanan tersebut melalui pemberian pulangan yang mampan serta menerajui pasaran. Dalam konteks ini, kami akan meningkatkan usaha kami dalam celik kewangan dengan menyediakan program dan sumber pendidikan bagi memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan untuk membuat keputusan kewangan termaklum.

:Kami juga akan mempergiatkan inisiatif pemasaran kami untuk menekankan kepentingan memupuk tabiat menyimpan yang konsisten bagi jaminan kewangan jangka panjang.”

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button