PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah merasmikan Majlis Penutup Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2023 yang bertemakan “Pengguna Berdaya, Negara RAHMAH Sejahtera” di Piazza, Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Hari Pengguna Kebangsaan saban tahun disambut pada tanggal 15 Mac bersama-sama Sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia atau World Consumers Rights Day (WCRD) diperingkat global. Walau bagaimanapun, tahun ini negara kita menyambut Hari Pengguna Kebangsaan 2023 (HPK) pada bulan Julai iaitu 28 hingga 30 Julai 2023.
Tema pada tahun ini telah di rangka dan dibahagikan kepada dua (2) bahagian iaitu Penguna Berdaya dan Negara RAHMAH Sejahtera. Pengguna Berdaya ialah pengguna yang berpengetahuan, tahu hak dan berani bertindak yang merupakan matlamat utama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kepada rakyat Malaysia.
Seterusnya, Negara RAHMAH Sejahtera pula merupakan negara yang menjaga ekonomi dan kebajikan rakyat dengan mewujudkan persekitaran ekonomi yang adil di atas prinsip kasih sayang.
Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan pada HPK 2023 adalah seperti Pertandingan eSport, Pertandingan Mewarna, Cabaran Troli Pengguna, Consumer Got Talent, Pertandingan Cosplay, Pertandingan Fesyen Kepenggunaan dan bermacam lagi. Pada masa yang sama, turut berlangsung Penyampaian Anugerah Penggerak Kepenggunaan 2023, dan juga Penyampaian Hadiah bagi pertandingan A Capella Kepenggunaan, Sketsa Kepenggunaan dan Choral Speaking Kepenggunaan.
KPDN selaku pelindung dan penegak hak pengguna sentiasa berusaha dalam menjalankan pelbagai program dan kempen advokasi kepenggunaan sebagai usaha untuk mendidik masyarakat.
Antaranya adalah program advokasi kepenggunaan melalui platform media sosial Kementerian, selebriti atau influencer dan penyiaran video infografik di televisyen kaunter kerajaan. Seterusnya, semoga tema “Pengguna berdaya, Negara RAHMAH Sejahtera” dapat direalisasikan seiring dengan visi dan tekad gagasan Malaysia MADANI.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak & Tugas-Tugas Khas) Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof serta Pegawai Kanan Kementerian. – SM
Artikel berkaitan > KPDN komited dalam laksana Jualan Rahmah Bergerak