Berita

PM Muhyiddin sifatkan lawatan rasmi ke Indonesia amat berjaya

Walaupun lawatan rasmi ke Indonesia tidak sampai 24 jam, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkannya sebagai amat berjaya.

Perdana Menteri bersyukur kerana walaupun lawatan singkat, tetapi ia memberi banyak faedah kepada kedua-dua negara.

“Saya rasa sukacita kerana lawatan ini boleh dikatakan amat berjaya,” katanya pada sidang media di akhir lawatan itu lapor  Bernama.

Muhyiddin tiba di ibu negara ini petang semalam, dan lawatan tidak sampai 24 jam itu dibuat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, dengan mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19.

Muhyiddin berkata banyak perkara yang dapat dibincangkan dalam pertemuan empat mata selama sejam dengan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dan mendapat persetujuan bersama.

“Lawatan cukup berhasil, persefahaman terjalin. ‘Body language‘ (bahasa tubuh) presiden sangat mesra.

“Sampai beliau (Jokowi) kata kalau ada apa-apa boleh ‘call’ tiap-tiap hari pun tak apa,” kata perdana menteri.

Muhyiddin berkata hasil pertemuan secara bersemuka itu mungkin sukar dicapai sekiranya pertemuan dibuat secara maya sahaja.

“Saya boleh rasa kehangatan hubungan dengan presiden semasa berbual, berjalan walaupun tidak berjabat tangan,” kata Muhyiddin.

Perbincangan kedua-dua pemimpin itu menyentuh isu dua hala, serantau dan antarabangsa, termasuk isu perdagangan, pelaburan, tenaga kerja, alam sekitar, pandemik COVID-19, nasib pekebun kecil dan nelayan.

Semasa di Istana Merdeka, Muhyiddin turut berjumpa secara berasingan dengan pemimpin Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) Ibu Megawati Soekarnoputri, yang merupakan bekas Presiden Indonesia.

Mereka berbincang mengenai kerjasama politik antara parti itu dengan Perikatan Nasional.

Pertemuan itu turut dihadiri Jokowi.

Sementara itu di Facebook beliau Muhyiddin bersyukur lawatan rasminya ke Indonesia berakhir dengan beberapa persetujuan bersama dicapai yang tentunya akan memacu hala tuju hubungan kerjasama kedua-dua negara ke tahap lebih tinggi.

Lawatan rasmi atas undangan khas Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) ini amat bermakna dalam mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia.

Pertemuan bersama Bapak Jokowi pada sesi ‘veranda talk’ merupakan satu lagi pendekatan baharu arena diplomasi antarabangsa dalam situasi pandemik COVID-19.

Pada sesi itu, saya membangkit dan mencadangkan langkah ke hadapan dalam beberapa isu seperti pelaburan dan perdagangan, pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), diskriminasi minyak sawit dan kerjasama dalam menangani pandemik COVID-19 serta pergolakan politik semasa di Myanmar.

Bagi pihak Malaysia, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pemerintah Indonesia, khususnya Bapak Presiden Joko Widodo atas sambutan amat luar biasa yang diberikan walaupun dalam keadaan pematuhan ketat protokol kesihatan akibat pandemik COVID-19.

Lawatan ini, pada saya sangat bermakna apabila dua pemimpin utama negara dapat berbual dan berbincang secara bersemuka selama empat jam dalam satu lawatan rasmi, yang tentunya memberi banyak ruang untuk kami mengorak langkah meningkatkan hubungan sedia ada ke peringkat lebih tinggi atau lebih strategik.

Berbanding perbincangan secara persidangan video, perbualan kami lebih mesra dan konstruktif, malah beliau meminta saya sentiasa berhubung dengannya bagi membincangkan apa-apa isu berkaitan kepentingan kedua-dua negara.

Saya juga berpeluang menunaikan solat Jumaat bersama Bapak Jokowi di Masjid Baiturrahim yang terletak di pekarangan kompleks Istana Merdeka. Khutbah yang dibacakan juga menyentuh mengenai kepentingan vaksinasi menurut perspektif Islam, satu perkara yang turut kami sentuh semasa sesi ‘veranda talk’.

Selepas solat, Bapak Jokowi dan saya berjalan kaki dari masjid ke dewan makan untuk memberi lebih ruang kepada kami terus berbincang mengenai hal-hal berkaitan kerjasama antara kedua-dua negara dalam suasana lebih santai.

Semoga silaturahim Malaysia-Indonesia terus kukuh. Terima kasih Bapak Presiden!

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button