PM imbau kembali kenangan melancarkan edisi sulung RFC pada tahun 1997 di Dataran Merdeka
PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Rainforest Challenge (RFC) Grand Final 2023 di Dataran Putra, Putrajaya.
Sebanyak 26 jentera pacuan empat roda telah dilepaskan pada majlis tersebut bagi menandakan bermulanya pertandingan pacuan empat roda yang berjaya memperkenalkan Malaysia di mata dunia sehingga dinobatkan tempat ke-3 daripada 10 pertandingan permotoran paling lasak di dunia sebaris dengan Dakar Rally, BAJA Race, Le Mans 24hr Race dan Isle of Man Race.
Anwar, yang tiba pada 5.20 petang, disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Azman Mohd Yusof, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Pelancongan Seni Budaya Datuk Shaharudin Abu Sohoy serta Pengasas merangkap Pengarah Rainforest Challenge and Rainforest Global Series Luis Wee, turut memberikan kata-kata semangat kepada peserta.
Anwar turut mengimbau kenangan dua puluh enam tahun lalu iaitu lebih tepat lagi pada 23 November 1997, beliau yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri telah menyempurnakan perasmian RFC pertama di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Sepanjang 26 kali penganjurannya, acara tersebut telah mencapai kejayaan dalam membantu mengharumkan nama negara di mata dunia dan seterusnya mencapai objektif mempromosikan Malaysia sebagai hab pelancongan sukan terutamanya sebagai destinasi penganjuran kejohanan sukan permotoran lasak bertaraf antarabangsa.
Setiap tahun, RFC Grand Final dianjurkan di negeri-negeri terpilih semasa musim hujan monsun di hujung tahun. Setakat ini, ianya berjaya menarik pasukan, penggemar dan pengunjung dari Malaysia dan tidak kurang dari 25 negara asing.
Tahun ini juga, RFC Grand Final akan diadakan di negeri Perak mulai 1 Disember dengan menggunakan laluan-laluan hutan dan kawasan pedalaman di Sungai Siput, Kuala Kangsar, Lenggong, Gerik sebelum kembali ke Ipoh untuk majlis penutup pada 11 Disember.
Majlis Flag-Off peserta akan diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru, Ipoh pada 2 November 2023, manakala majlis penutup pula pada 11 Disember di Hotel Casuarina, Ipoh.
Tahun ini, RFC Grand Final akan disertai kira-kira 300 peserta tempatan dan antarabangsa seperti Russia, Mongolia, China, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Vietnam, India, Sri Lanka, Thailand, Jepun, Italy, Filipina, Indonesia.
Penganjuran RFC Grand Final di Perak merupakan kali ke dua diadakan setelah kali pertama pada 2004.
Perak dipilih kerana mempunyai pelbagai tarikan pelancongan serta hutan flora dan fauna yang menarik dan sesuai untuk aktiviti outdoor seperti sukan permotoran 4×4.
Penganjuran RFC Grand Final diharap dapat menonjolkan Malaysia dan negeri Perak khususnya kepada peserta, pengunjung dan pelancong dari seluruh Malaysia dan antarabangsa sebagai satu destinasi pelancongan yang paling menarik dan unik. – SM
Artikel berkaitan > Pelaksanaan projek tahun ini lebih baik tapi belum cukup memuaskan – Anwar