Berita

Planworth Santuni Komuniti Menerusi Kempen CSR Ramadan 2025

DALAM usaha memperkukuh tanggungjawab sosial dan mempererat hubungan dengan komuniti, Planworth Global Factoring Sdn Bhd (Planworth), syarikat terkemuka dalam pembiayaan tanpa cagaran, melancarkan kempen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ramadan 2025 yang bertemakan “Lebih Daripada Pembiayaan, Berkongsi Keberkatan Ramadan”.

Planworth telah mengagihkan pembiayaan lebih RM2.5 bilion kepada ribuan pelanggan melalui pelbagai kemudahan, termasuk pembiayaan invois/pemfaktoran, pembiayaan pesanan belian, serta pinjaman berjangka secara Konvensional dan Islamik. Selain itu, syarikat ini turut menyokong nilai kontrak melebihi RM4 bilion dalam sektor bekalan dan perkhidmatan, dengan angka yang terus meningkat saban tahun.

Sebagai peneraju dalam industri pembiayaan alternatif, Planworth telah meraih pelbagai anugerah berprestij di Malaysia dan Singapura. Syarikat ini merupakan satu-satunya entiti pembiayaan alternatif yang menerima akreditasi 4 daripada 5 bintang dalam SME Competitiveness Rating Enhancement (SCORE) oleh MRANTI, berdasarkan kekuatan kewangan, prestasi perniagaan, sumber manusia, penggunaan teknologi, pensijilan, serta kehadiran pasaran. Planworth juga merupakan penerima Anugerah Enterprise 50 (E50) oleh SME Corp Malaysia, yang mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi kewangan yang dipercayai.

Kempen CSR Ramadan 2025 ini menzahirkan keprihatinan Planworth dalam membantu masyarakat yang memerlukan agar mereka turut merasai keberkatan bulan Ramadan.

Menerusi inisiatif ini, Planworth menyantuni 151 pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), sebuah institusi pendidikan khas untuk anak-anak gelandangan, dengan mengadakan majlis berbuka puasa istimewa pada 13 Mac 2025. Selain itu, syarikat turut menyampaikan sumbangan duit raya serta peralatan sekolah bagi memberikan dorongan kepada pelajar sepanjang bulan Ramadan.

Komitmen Planworth juga meliputi golongan gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL). Pada 19 Mac 2025, seramai 80 individu menerima bantuan berupa barangan keperluan asas, makanan, serta duit raya dalam satu sesi khas yang dianjurkan bagi memastikan mereka tidak terpinggir dalam meraikan Ramadan.

Menurut Pengarah Eksekutif Planworth, Elaine Lim, syarikat ini sentiasa mencari pendekatan terbaik dalam membantu komuniti dan berpegang teguh kepada prinsip memberi kembali kepada masyarakat.

“Kami komited untuk menganjurkan program CSR setiap tahun sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami. Selain memacu pertumbuhan dalam sektor perniagaan, kami juga ingin berkembang bersama komuniti.

Dengan memberikan sokongan kepada masyarakat, kami berharap dapat menginspirasikan generasi muda untuk mengejar impian mereka serta membantu golongan yang kurang bernasib baik menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Majlis ini, yang dianjurkan dengan kerjasama Kelab Kebajikan Sosial Planworth, berlangsung daripada sebelum waktu berbuka hingga selesai solat tarawih, dengan penglibatan aktif kakitangan syarikat sebagai sukarelawan bagi menjayakan program tersebut.

Untuk menjayakan inisiatif ini, Planworth telah memperuntukkan lebih RM35,000 dalam bentuk wang tunai, makanan, peralatan sekolah, kelengkapan barangan harian, makanan kering, serta duit raya kepada SBJK dan PTGKL.

“Saya percaya usaha berterusan seperti ini bukan sahaja dapat meringankan beban mereka yang memerlukan, malah membantu menyalurkan bantuan kepada golongan yang tepat. Kami berharap kempen ini dapat meningkatkan kesedaran tentang isu sosial dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kebajikan dalam masyarakat,” tambah Elaine.

Dengan pelaksanaan kempen ini, Planworth terus membuktikan peranannya bukan sekadar penyedia penyelesaian kewangan tetapi juga sebagai entiti korporat yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat.

Mengenai Planworth

Planworth merupakan syarikat utama dalam pasaran pembiayaan invois dan pembiayaan rantaian bekalan di Malaysia dan telah mengembangkan operasinya ke Singapura. Sebagai sebahagian daripada Grand Columbia Group yang memiliki lebih 30 tahun pengalaman, Planworth menyediakan penyelesaian kewangan yang dipercayai, fleksibel, dan inovatif kepada vendor serta penyedia perkhidmatan bagi PMKS, GLC, dan sektor swasta dalam pelbagai industri.

Dengan rekod pencapaian yang kukuh dalam memperkasakan perniagaan kecil dan sederhana, Planworth menawarkan pembiayaan yang cekap, mudah, dan boleh dipercayai tanpa cagaran. Syarikat ini juga berdaftar di bawah MOF & E-Perolehan, membolehkannya memainkan peranan lebih aktif dalam menyokong ekosistem perniagaan tempatan.

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button