PKPP dilanjutkan sehingga 31 Mac
Kerajaan melanjutkan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) sehingga 31 Mac 2021, selepas peraturan itu berakhir tengah malam tadi.
Antara lain, peraturan tersebut membolehkan ketua pengarah kesihatan mengeluarkan sebarang arahan bagi mencegah dan mengawal jangkitan Covid-19.
Aktiviti seperti pelancongan dalam dan luar negeri, aktiviti pub dan kelab malam (kecuali perniagaan restoran dalam pub atau kelab malam), dan aktiviti di mana penjarakan fizikal sukar dilaksanakan adalah dilarang.
Pegawai yang diberi kuasa juga boleh mengeluarkan arahan berhubung pergerakan dan aktiviti mana-mana individu di dalam kawasan yang telah dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Mereka yang melanggar peraturan tersebut boleh dikenakan denda hingga RM1,000, penjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya.
Malaysiakini melaporkan warta yang dinamakan “Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (No. 9) 2020” itu dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba bertarikh 31 Disember 2020 dan disebarkan oleh Majlis Keselamatan Negara pada jam 12.27 pagi 1 Januari 2021.
Terdahulu dalam perutusan khas sempena tahun baru, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyebut mengenai pelbagai isu berkaitan dengan tindakan kerajaan dalam menangani Covid-19.
Bagaimanapun sehingga akhir ucapannya, perdana menteri tidak menyebut sama ada PKPP akan dilanjutkan atau sebaliknya, malah semakan mendapati tiada lanjutan PKPP diwartakan di laman web Jabatan Peguam Negara.
Menteri Pertahanan, Ismail Sabri dijangka membuat pengumuman mengenai perkara itu hari ini.
Perkembangan itu berlaku ketika negara ini mencatatkan rekod tertinggi jangkitan Covid-19 hari ini.
Sebanyak 2,525 kes baru direkodkan hari ini, manakala kes aktif kini adalah sebanyak 23,598 kes.
Menurut laman web Kementerian Kesihatan (KKM), kadar nilai kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) semalam adalah 1.05.
Kementerian berharap angka tersebut turun kepada 0.50.