Nasional

PKPB hingga 9 Jun, tiada sambutan Aidilfitri, Kaamatan dan Gawai

PKPB atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dilanjutkan sehingga 9 Jun ini.

Dalam tempoh itu, pergerakan balik kampung bagi menyambut beberapa perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai tidak dibenarkan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun negara telah mencapai banyak perkembangan positif dalam usaha memerangi wabak COVID 19, tetapi masih belum berjaya
sepenuhnya.

Oleh itu katanya, langkah-langkah masih perlu diambil untuk memerangi wabak ini.

“Dari segi pandangan umum juga saya dapati rata-rata rakyat mahukan supaya kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memerangi wabak ini

Related Articles

“Justeru, atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara, saya ingin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB yang berkuatkuasa sehingga 12 Mei 2020, akan disambung lagi sehingga 9 Jun 2020.

“Iaitu selama empat minggu lagi. Ini bermakna, semua peraturan dan SOP yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuatkuasa sehingga 9 Jun 2020,” katanya dalam perutusan khas sebentar tadi..

Menurut Perdana Menteri, sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Dalam tempoh itu katanya, ada beberapa perayaan utama yang lazimnya akan melibatkan pergerakan orang ramai, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

“Jadi saya nak mengingatkan saudara-saudari tentang larangan pergerakan antara negeri yang masih berkuatkuasa
dalam tempoh ini.

“Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak
dibenarkan.

“Saya tahu ramai yang sedih tak dapat balik berhari raya di kampung bersama keluarga. Bersabarlah. Bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara.

Stesen-stesen TV dan Radio bolehlah mainkan lagu Dendang Perantau sekali-sekala. Kalau dimainkan selalu saya pun berasa sayu juga.

“Mainkanlah lagu-lagu Hari Raya yang boleh menceriakan suasana. Saya tengok dalam YouTube ada lagu “Jange Kelik La Weii”. Lagu ni pun OK lah,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button