Nasional

PKP5 atau PKPB bukan tiket kebebasan keluar rumah

COVID-19: Wabak masih belum putus penularan

PERINTAH Kawalan Pergerakan 5 (PKP5) atau dikenali juga sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini, bukanlah satu kebebasan untuk seluruh rakyat Malaysia.

PKP5 atau PKPB iaitu bersyarat adalah untuk sebahagian sektor ekonomi dan industri dalam negara, dibenarkan memulakan operasi.

Di bawah PKPB ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, fokus Polis diRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pihak berkuasa lain adalah lebih kepada penguatkuasaan pematuhan SOP.

Beliau menjelaskan, Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih berkuasa.

“Ramai yang terkeliru seolah-olah akta di bawah 342 tidak lagi berkuatkuasa kerana PKPB ini.

“Untuk makluman semua, PKPB sama dengan PKP-PKP yang lain. Ia terus berkuat kuasa dan jika ingkar, hukuman tetap sama iaitu kompaun tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Jika individu melakukan kesalahan ingkar PKP di bawah peraturan atau SOP maka tindakan boleh dikenakan kepada mereka.

“Jika mereka yang ingkar dan melanggar peraturan atau SOP PKPB dibawa ke mahkamah, boleh dijatuhkan hukuman denda RM1,000, enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

“Statusnya tetap sama, PKP walaupun ada B dihujungnya,” katanya.

Ismail Sabri memberi pencerahan berhubung PKP5 atau PKPB pada sidang akhbar harian, hari ini.

Sejak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPB, ramai yang mengambil kesempatan dengan keluar menderu-deru keluar rumah.

Ada yang berkunjung ke pasar-pasaraya dengan alasan, membeli barang keperluan.

PKPB yang membenarkan pergerakan dalam sebuah kereta empat orang (kesemua mestilah ahli keluarga) dijadikan satu kesempatan oleh segelintir rakyat Malaysia untuk keluar dan membawa bersama anak kecil.

Lebih 47 hari semua akur kepada PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPB) tetapi semua itu tinggal ‘kenangan’ apabila PKP5 atau PKPB diumumkan.

Seolah-olah masyarkat sudah bebas untuk keluar dan ‘menghirup’ udara di luar sedangkan wabak COVID-19 masih belum putus rantaiannya.

Kes-kes positif COVID-19 terus meningkat dan pelbagai kluster wujud dan terkini, kluster tapak pembinaan yang membabitkan pekerja warga asing.

Ismail Sabri mengingatkan tuan punya premis makanan juga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 342 dan akibatnya, perniagaan boleh ditutup serta merta.

“Sekali lagi saya ingin mengingatkan semua peraturan ini adalah diwartakan.

“Apabila PKP1 menjadi PKP2, peraturan di bawah Akta 342 diwartakan berdasarkan tarikh permulaan dan tarikh akhir PKP. Jika diwartakan, peraturan yang diwartakan sebelumnya, terbatal.

“Sebagai contoh, PKP4 diwartakan, misalnya di sebuah kereta maksima dua orang. PKP5 dilaksanakan, diwartakan boleh membawa penumpang empat orang. “Oleh itu PKP di bawah PKP4 terbatal kerana diwartakan peraturan baharu di bawah PKP5.

“Kalau ada yang nak patuhi akta atau peraturan PKP4, salah. Ia terbatal secara tersendiri,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button