PKP3.0: PM umum tambahan Bantuan Prihatin Rakyat, moratorium
PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin mengumumkan tambahan peruntukan Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR sebanyak RM2.1 bilion bagi mengurangkan tekanan terhadap rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.
Isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500 akan menerima kadar BPR tambahan sebanyak 500 ringgit.
Isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000 akan menerima kadar sebanyak RM300 ringgit. Golonga bujang pula akan menerima 100 ringgit.
“BPR tambahan ini akan mula dimasukkan ke akaun penerima pada hujung bulan Jun nanti. Bayaran ini merupakan tambahan kepada fasa bayaran terakhir BPR bulan September kelak sebanyak RM2.4 bilion,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri: Bantuan PKP3.0 sebentar tadi.
Kerajaan turut mendengar permintaan rakyat supaya menimbang semula pemberian moratorium.
Hasil perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium.
“Bagi semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, anda diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama 3 bulan.
“Atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh 6 bulan,” katanya.
Inisiatif tersebut akan dilaksanakan segera pada bulan Jun dan dijangka memanfaatkan lebih dari 5 juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion.
Industri perbankan akan memberikan maklumat lebih terperinci berhubung perkara ini mulai esok.
Muhyiddin berharap pengumuman moratorium automatik dapat memberi sedikit kelegaan kepada peminjam institusi perbankan.
Menurutnya, peminjam hanya perlu menghubungi bank masing-masing untuk mendapat manfaat bantuan tersebut.
Inisiatif tersebut sebahagian daripada Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan atau Pemerkasa+ bernilai RM40 bilion berikutan pelaksanaan PKP.-SM