Nasional

PKP2.0? Pengumuman PM malam ini

HANGAT diperkatakan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang didakwa akan dilaksanakan bermula malam ini.

Malah ada yang mendakwa menerima pelbagai mesej termasuk pengumuman daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dikatakan berlangsung pagi tadi.

Namun, tiada sebarang pengumuman dan pengesahan dibuat oleh mana-mana pihak dalam kerajaan mengenai pelaksanaan PKP2.0.

Justeru rakyat Malaysia perlu berhati-hati dalam menerima sebarang maklumat dan memastikan kesahihan sebelum menyebarkannya.

Walau bagaimanapun, Suara Merdeka dimaklumkan suatu pengumuman akan dibuat oleh Muhyiddin mengenai perkembangan kawalan pandemik Koronavirus (Covid-19) pada malam ini.

“Malam ini PM (Perdana Menteri) akan umum.”

Demikian ringkas jawapan diberikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba ketika menjawab pertanyaan daripada wartawan Suara Merdeka menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pelbagai berita yang tular mengatakan PKP2.0 akan dilaksnakan bermula 12 sehingga 25 Januari 2021.

Namun, tidak menyatakan secara jelas mengenai waktu pengumuman akan dibuat oleh Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Dr. Adham tidak mengulas lanjut mengenai kesahihan pelaksanaan PKP2.0 serta tarikh bermula sekiranya dilaksanakan.

Untuk makluman, isu mengenai PKP2.0 sudahpun menjadi perbualan pelbagai pihak termasuklah beberapa pemimpin kerajaan dan parti politik.

Antaranya termasuklah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyentuh soal pembukaan sekolah pada 20 Januari ini dan meminta ia ditangguhkan sehingga sambutan Tahun Baharu Cina.

Ini kerana, kes baharu wabak Covid-19 kini masih berada pada tahap membimbangkan susulan cetusan gelombang ketiganya.

Ditambah pula dengan masalah banjir yang melanda negeri di Pantai Timur pasti menyukarkan lagi keluarga, murid, dan guru untuk memulakan sesi persekolahan 2021.

Selain itu, netizen turut menzahirkan kebimbangan terhadap pelaksanaan PKP2.0 terutama bagi mereka yang meraih pendapatan secara harian.

Hal demikian dikhuatiri menjejaskan kehidupan seharian terutama bagi peniaga sama ada di gerai, warung ataupun restoran.

Selain itu, hal lain yang disentuh juga berkaitan dengan pemberian moratorium dan pengeluaran simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi megnhadapi PKP sekali lagi. – SM

[Berita lanjut menyusul]

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button