PKP dilanjutkan sehingga 12 Mei
PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 12 Mei.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebentar tadi.
“Dalam tempoh ini, kerajaan akan menilai data-data terkini yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan untuk menentukan langkah seterusnya. Saya tidak menolak kemungkinan bahawa PKP akan dilanjutkan lagi selepas ini.
“Ini bermakna, saudara-saudari mungkin tidak boleh menyambut hari raya di kampung. Saudara-saudari masih tidak boleh bekerja, kecuali bagi mereka yang bekerja dalam sektor yang dibenarkan. Perniagaan juga masih belum boleh dibuka sepenuhnya.
“Walau bagaimanapun, jika kes-kes COVID 19 terus mencatatkan penurunan yang ketara, kerajaan berkemungkinan akan melonggarkan kawalan pergerakan secara bertahap dalam beberapa sektor termasuk
sektor sosial. Ini untuk membolehkan saudara-saudari menjalani kehidupan yang lebih selesa,” kata Muhyiddin.