PKP 2.0 dilanjutkan sehingga 18 Februari
PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir pada 4 Februari ini akan disambung sehingga 18 Februari depan.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah itu dikuatkuasakan di semua negeri kecuali di Sarawak.
“Kes harian Covid-19 di kesemua negeri masih menunjukkan peningkatan sebanyak 20 hingga 40 peratus.
“Jangkitan dalam komuniti juga tinggi dan di atas penilaian risiko, Majlis Keselamatan Negera bersetuju untuk melanjutkan PKP selama 10 hari,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.
Menurut Ismail Sabri, pihaknya akan mengetatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang PKP2.0 dilanjutkan.
Ujarnya, pergerakan rentas negeri dan aktiviti sosial juga masih tidak dibenarkan dan SOP lain masih sama seperti yang diperkenalkan sebelum ini.
“Bila kita buka rentas negeri, kes positif meningkat dan terdapat 31 kluster baharu berkaitan rentas negeri. Disebabkan itu kita beri penekanan supaya rentas negeri tidak dibenarkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mengesahkan sedang meneliti setiap rayuan daripada peniaga yang memohon supaya mereka dibenarkan beroperasi semula.
Jelasnya, ramai yang membuat permohonan antaranya perniagaan cuci kereta, kedai gunting rambut dan pelbagai lagi.
“MKN sedang meneliti setiap permohonan dan sedang mengadakan mesyuarat teknikal bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelasnya.