VOKALIS kumpulan Search, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman menerima pingat Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.
Amy menjadi satu satunya pelaku seni yang menerima pingat tersebut sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang ke-73 hari ini.
Mengucapkan setinggi penghargaan kepada Tun Mohd Ali Rustam, Amy, 64, yang turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Sri Ab Rauf Yusoh melahirkan rasa syukur di atas kurniaan yang diterimanya selepas 42 tahun menjadi anak seni.
“Syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri Melaka, Yang di-Pertua Negeri, Tun Ali Rustam dan semua pihak yang terlibat.
“Pemberian pingat yang membawa gelaran Datuk kepada saya ini tidak akan merubah Amy Search yang semua kenali selama ini. Saya tetap Amy Search, penyanyi dan pemain industri muzik yang dikenali,” ujar Amy kepada Gempak.
Namun kata Amy, penganugerahan pingat Datuk yang dikurniakan kepadanya adalah sebuah tanggungjawab dan pengiktirafan buah seluruh karyawan hiburan.
“Dengan dikurniai pingat ini, ia memberi saya lebih tanggungjawab demi menjadi teladan yang lebih baik dan pingat ini sebenarnya juga bukan untuk saya secara individu tetapi adalah mengiktiraf bahawa anak seni atau karyawan hiburan juga memainkan peranan penting dalam sosio ekonomi kita,” katanya lagi.
Sangat menyukai seni bina Melaka, Amy menikah dengan Norhasliza Hassan yang dilahirkan di Melaka serta memiliki lima orang anak termasuk aktres dan hos, Nabila Huda.
Amy yang memulakan kariernya sekitar awal tahun 80-an sudah menerima banyak pengiktirafan dalam dunia muzik termasuk mencetus fenomena lewat lagu Isabella bersama kumpulan legenda, Search.
Karya karya mereka juga menembusi pasaran di Indonesia, sehingga Amy bersama anggota Search yang lain termasuk Allahyarham Yazit Ahmad pernah membintangi filem Isabella yang turut dibintangi aktres popular republik itu, Nia Zulkarnaen pada tahun 1990.
Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Zaidi Johari, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendahului senarai 883 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran Melaka sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang ke-73 hari ini.
Ismail Sabri dikurniakan gelaran Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Artikel asal disiarkan di Gempak.