SEBANYAK 407,960 pekerja sektor pembuatan telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, jumlah tersebut telah menerima satu dos vaksin setakat semalam.
“Pekerja sektor pembuatan yang telah menerima dua dos vaksin pula ialah sebanyak 43,702 orang,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri MITI sebelum ini berkata, PIKAS dimulakan sebagai tindak balas terhadap seruan dari persatuan industri, dewan perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana untuk membantu Kerajaan mempercepat imunisasi untuk rakyat.
Jelasnya, kerajaan komited untuk memastikan pekerja mendapat vaksin percuma di bawah PIKAS yang disokong oleh sektor swasta yang dilaksanakan di seluruh negara termasuk vaksinasi di premis kilang.
Setakat 21 Julai lalu, sebanyak 14,933 syarikat telah berdaftar di dalam program tersebut. -SM