Politik

PH tidak memerlukan Pas sebagai rakan sekutu

PAKATAN Harapan (PH) tidak memerlukan Pas sebagai rakan sekutu yang baharu, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata sekiranya wujud idea atau percubaan untuk memasukkan PAS dalam PH, ia mesti berasaskan prinsip konsensus rakan-rakan pakatan itu.

“Jadi saya tengok ia kekal sebagai satu khabar politik biasa tapi saya tak nampak sebab dan alasan untuk PH menerima keanggotaan baharu,” katanya ketika ditanya mengenai desas-desus wujud gerakan membawa Pas berganding dengan PH.

Beliau ditemui ketika melakukan pra-pelancaran Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Makanan (PPPM) bagi Program Food Bank Malaysia di Bukit Angkat, Kajang di sini hari ini.

Semalam media melaporkan, Parti Amanah Negara (Amanah) menolak sebarang gerakan atau cadangan untuk membawa masuk PAS menyertai kerajaan semata-mata untuk menarik sokongan rakyat kepada PH.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan berkata tiada keperluan ketika ini untuk ‘menyerap’ Pas ke dalam Putrajaya atau negeri dikuasai PH atas alasan pengaruh parti itu mampu memberi kelebihan kepada kerajaan.

Ditanya mengenai laporan berita yang memetik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam sebagai berkata PH akan menjadi kerajaan sepenggal jika ia tidak berubah dan masalah dalamannya berlarutan, Saifuddin berkata rakyat mempunyai kebijaksanaan untuk membuat penilaian.

“Kita percaya kepada kebijaksanaan rakyat, kita tidak pernah memandang rendah kebijaksanaan rakyat dan fokus kita sekarang adalah untuk melaksanakan apa juga komitmen dan janji kita… dan akhirnya rakyat adalah hakim yang terbaik,” jelasnya.

Dr Mahathir bagaimanapun kemudian menegaskan kepada pemberita yang beliau tidak fikir PH akan menjadi kerajaan sepenggal, namun beliau berkata kerajaan sebelum ini meninggalkan banyak masalah yang terpaksa diselesaikan kerajaan PH. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button