fbpx
Politik

Hormati institusi Perdana Menteri, sokong Dr. Mahathir

Analisis

Oleh ZACK JAY

Sesungguhnya Allah menentukan siapa yang beroleh kuasa memerintah.

Rekod dunia Perdana Menteri memerintah menghampiri seabad – 94 tahun -sudah dipecahkan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Rekod negara sendiri apatah lagi. Puncak sudah didaki, lurah sudah dituruni. Cuma yang tinggal untuk dicapai ialah hasrat rakyat untuk hidup dalam kemampuan dan kesejahteraan.


Hairannya, soal penggantian Dr. Mahathir pula yang sering dan bertubi-tubi diketengahkan oleh banyak pemimpin PKR dan DAP dari kem Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antaranya, Ramkarpal Singh, P Ramasamy, Johari Abdul, Ronnie Liu, Abdullah Sani, Akmal Nasir, Rafizi Ramli, Syukri Razab dan Syed Husin Syed Ali.

Mujur jualah Parti Bersatu ada setidak-tidaknya pembela kecil, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berani ke depan mempertahankan Dr. Mahathir dengan meredakan tekanan transisi yang dijadual berlangsung Mei tahun 2020 ini.

SIAPA TAK MAHU JADI PM?

Itu belum lagi dikira pendekatan yang diserlahkan Anwar sendiri. Beliau selaku Presiden PKR manakala selesai diampunkan Yang di-Pertuan Agong (dengan bantuan kukuh Dr. Mahathir tentunya) dan susulan menang sebagai Ahli Parlimen kawasan Port Dickson, diketahui umum amat mengharapkan Dr. Mahathir berundur dalam tempoh yang dipersetujui.

Tentunya tempoh itu belum sampai pada saat ini kerana Dr. Mahathir baru memegang teraju dalam tempoh belum dua tahun. Istilah ‘tempoh yang dipersetujui’ juga amat kabur dan penuh dengan huraian ‘semak belukar’.

Tempoh setahun lebih ini berkhidmat sebagai ketua kerajaan ikut jangka masa manapun didapati terlalu awal untuk membuat peralihan.

Sekurang-kurangnya tiga tahun harus diperuntukkan, jika tidakpun tiga tahun atau habis bagi tempoh sepenggal pilihan raya.

Tetapi berasas kepada yang berlalu dan berpetua kepada keadaan semasa, ini mungkin satu kesukaran untuk jadi kenyataan. Ahli politik mana yang tak nak jadi PM?

BEZA ERA 1981 DAN 2020

Mahu tak mahu juga harus diakui pemegangan kuasa Dr. Mahathir kali kedua ini jauh bezanya daripada kuasa yang dipegangnya bagi tempoh 1981–2003.

Kuasanya dahulu lebih mutlak, lebih berkesan dan lebih bebas membuat keputusan serta percaturan politik. Meminda perlembagaan Persekutian 1993 sehingga Raja-Raja hilang sebahagian kuasa tradisional mereka adalah sebahagian hasil kuasa besar itu. Dr. Mahathir berjaya meletakkan konsep keluhuran undang-undang atau rule of law seperti yang dituntut di bawah Rukunegara.

Sekarang Dr. Mahathir kena rujuk banyak perkara kepada Majlis Presiden Parti Harapan. Hal-hal tulen Melayu sukar mendapat sambutan sebulat suara kerana realiti PPBM atau Bersatu cuma punya 26 kerusi Dewan Rakyat berbanding 50 bagi PKR dan 42 DAP. Keadaan berbeza jika Bersatu beroleh, katalah, 50 kerusi Dewan Rakyat.

NASIB PARTI KECIL

Berasaskan realiti bahawa kuasa politik ditentukan oleh bilangan kerusi dan keanggotaan parti yang ramai, Bersatu sering dilihat sebagai parti yang kurang prasarana keahlian dan kerusi. Di peringkat ini tidak dinafikan Bersatu banyak bergantung imej dan harapan kepada Dr. Mahathir. Jika beliau tiada lagi memimpin parti itu, khususnya jika beliau tidak lagi perdana menteri, banyak meramalkan parti itu akan mengalami fasa serik.

Sama ada telahan atau ramalan ini berasas atau sebaliknya akan dapat diberi unjuran sahih apabila manifesto Pilihanraya Umum-14 berjaya dilunaskan untuk rakyat. Jika sebahagian besar manifesto PH tidak hasil menjelang PR-15 persoalan ini mudah dijawab dan dihuraikan.

Malaysia punya lumrah politik yang dalam bahasa mudahnya dipanggil “politik isi perut dan poket” . Harga barang dapur dan keperluan harian yang meningkat termasuk minyak, tol jalan dan harga rumah yang tidak mampu-beli – inilah sebahagian contoh-contoh `politik perut, poket’ yang semestinya lekas diatasi.

PERLUKAH DIGANTI?

Ada pihak berkata. Ya, Mahathir semacam seorang yang terpilih dan seorang pemimpin yang unik lagi disegani tetapi pada usia 94 tahun beliau seharusnya bersedia diganti. Setujukah?

Soal tukar dan ganti memang tidak dinafikan mesti berlaku dan dilakukan. Ini sudah jadi lumrah alam dan kemanusiaan.

Cuma yang menjadi isu di sini ialah masa dan ketikanya bagi penggantian itu dilakukan.

Dalam petak pemikiran Tun Mahathir isu perpaduan bangsanya tentu mengatasi aspirasi yang masih berbaki dalam perhitungannya. Ini dapat dilihat melalui seruannya minggu lalu supaya Melayu sedia menyertai Bersatu demi memperkasa perjuangan mereka di tanah air mereka.

Tercapaikah ini dalam saki-baki perkhidmatannya sebagai perdana menteri ke-7?
-SM

Show More

Related Articles

Back to top button