Politik

PH lemah soal komunikasi-Perwakilan Amanah

BEBERAPA perwakilan Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini membangkitkan isu berkaitan komunikasi dalam kalangan mereka yang disifatkan perlu dilihat secara lebih teliti supaya rakyat lebih memahami perjuangan parti itu serta Pakatan Harapan (PH) dan usaha-usaha kerajaan.

Perwakilan dari Pulau Pinang, Mohd Saifullah Abdul Nasir menyarankan parti berkenaan serta PH supaya bijak mengguna pakai platform media arus perdana dalam menyebar luas aspirasi mereka kepada rakyat.

Beliau berkata sebagai kerajaan, penggunaan jenis media berkenaan dilihat sebagai peluang untuk rakyat lebih memahami perjuangan yang dibawa oleh Amanah dan PH.

“Saya fikir apa saja ruang yang ada kepada kita, sebagai kerajaan kita harus menggunakan kuasa yang ada…bukan salah guna (kuasa), tapi menggunakan kuasa untuk menyampaikan aspirasi kita,” katanya ketika perbahasan Pidato Presiden pada Konvensyen Nasional 2019 Amanah di Pusat Konvensyen Ideal di sini, hari ini.

Perwakilan Kedah, Mohd Nasir Zakaria pula menggesa Amanah supaya mempelbagai penggunaan media termasuk turut ‘bertempur’ di media sosial yang mana ia dilihat sebagai platform untuk menarik minat golongan muda dalam politik.

Menyifatkan akhbar parti iaitu Mingguan Amanah sebagai media konvensional serta kurang berjaya menarik minat ahli baharu, beliau yakin, penggunaan media sosial parti dengan betul mampu memperkukuh aspek komunikasi khususnya melibatkan golongan muda yang sememangnya lebih banyak menggunakan platform tersebut.

Perwakilan Perlis, Roslan Ahmad pula berkata bagi mengelakkan kerajaan terus dihimpit dengan pelbagai isu, pihak sepatutnya, termasuk dari Amanah harus memikirkan saluran komunikasi yang betul supaya pentadbiran terus kukuh untuk penggal seterusnya.

“Hakikatnya, pengundi atas pagar tidak akan baca Mingguan Amanah. Jadi bagaimana kita hendak sampaikan konsep Rahmatan Lil Alamin? (yang diperjuangkan Amanah). Kita ini kerajaan, kita ada media massa seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV Al Hijrah dan radio (RTM) di negeri-negeri.

“Jadi, sesuatu harus dibuat oleh pengarah strategik parti supaya maklumat mengenai pencapaian dapat disebar luas. Saya seru semua perwakilan sama-sama berfikir, jika komunikasi tak sampai kepada rakyat, pemimpin kita tidak akan nampak di ‘depan’,” katanya.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button