PH/BN kuasai dua pertiga DUN Pulau Pinang
GEORGETOWN – Gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang meraikan kemenangan bagi membentuk kerajaan negeri yang baru apabila menang 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri ke-15 (PRN15).
Pengumuman tersebut dibuat Ketua Menteri Caretaker, Chow Kon Yeow di pusat penjumlahan undi PH-BN pada jam 10.15 malam Sabtu.
Dalam ucapannya, Kon Yeow berkata, menerusi keputusan rasmi dan tidak rasmi, Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang telah menang 29 kerusi (DUN) sehingga jam 10 malam Sabtu.
“Ini bukan sahaja cukup untuk membentuk Kerajaan Perpaduan (kerajaan negeri) tetapi juga mencapai majoriti dua pertiga kerusi yang berjaya dimenangi,” katanya ketika berucap di pusat penjumlahan undi PH-BN di sini pada malam Sabtu.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, beliau yang mempertahankan DUN Padang Kota akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri bagi penggal kedua esok mewakili kerajaan negeri baharu seperti mana yang diputuskan oleh pimpinan PH sebelum ini.
“PH akan menilai keputusan PRN kali ini dan memperbaiki kelemahan yang ada supaya Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan dapat benar-benar memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat Pulau Pinang.
“Masa depan masih penuh dengan cabaran dan kita ikrar akan lihat keputusan (PRN) dan buat penganalisaan dan baiki apa yang ada kelemahan-kelemahan supaya Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan ini benar-benar dapat memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat di Pulau Pinang ini,” katanya.
Gabungan PH-BN memenangi 29 kerusi iaitu melebihi 21 kerusi DUN yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah daripada keseluruhan 40 kerusi DUN yang dipertandingkan.