Petronas sahkan penemuan gas di pantai Sarawak
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah mengesahkan penemuan gas baharu di luar pantai Sarawak.
Syarikat minyak dan gas negara itu membuat pengumuman dalam satu kenyataan hari ini mengenai kejayaan itu di telaga penilaian penerokaan Lang Lebah-2 dalam kontrak perkongsian pengeluaran Blok SK410B (PSC) yang terletak di Wilayah Luconia Tengah, kira-kira 80 kilometer dari Sarawak.
PTTEP HK Offshore Ltd adalah operator bagi blok yang turut dikongsi dengan KUFPEC Malaysia (SK410B) Ltd dan Petronas Carigali Sdn Bhd.
Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata, penemuan luar biasa ini adalah bukti kepada lembangan Malaysia yang sangat prolifik dan menunjukkan potensi eksploitasi yang belum diterokai.
Blok SK410B dipromosikan dalam Pusingan Bidaan Malaysia 2015, menyebabkan PSC ditandatangani pada Julai 2016, lapor Bernama.
Telaga penerokaan Lang Lebah-2 berjaya digerudi sehingga ke kedalaman 4,320 meter pada pertengahan Januari 2021 dengan lebih 600 meter jaminan keuntungan gas bersih.
“Telaga ini telah diuji dan memberi aliran sebanyak 50 juta kaki padu gas sehari dengan jumlah gas yang ketara. Ini adalah penggerudian penilaian untuk mengesahkan potensi peningkatan serta bertujuan mempercepatkan program pembangunannya,” kata Mohamed Firouz.
Pada 2019, Petronas dan rakan kongsinya berjaya menggerudi penemuan gas yang berdaya maju secara komersial melalui penerokaan telaga pertama, Lang Lebah-1RDR2, dan kini sedang bersiap sedia ke arah pembangunan lapangan.