PESTA Angin Timur (PAT)2021 yang terpaksa dilakukan secara online disebabkan Pandemik Covid-19 pada tahun lalu telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM468,540.00.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia diperoleh melalui syarikat telekomunikasi atau Telco.
Katanya, ini berdasarkan return of investment (ROI) melalui siaran segmen jualan produk secara langsung atau ‘Kedai PAT’ yang mengambil pendekatan ‘ala go shop’.
“Sekaligus ia telah berjaya menjana pulangan tidak jauh berbeza dengan pulangan semasa penganjuran secara fizikal pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian PAT2022@ hibrid di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis.
Turur hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah JKKN Perlis, Norazlin Nordin.
Nancy berkata, jumlah khalayak yang hadir secara maya pula 82,200 orang termasuk pelancong luar negara yang pernah mengikuti perkembangan PAT sebelum ini.
Nancy berkata, sekalipun PAT pada tahun ini diadakan secara rakaman tetap perasmian dapat dijalankan secara fizikal.
“Sekaligus ia akan membolehkan kita menjiwai seni warisan budaya masyarakat Perlis, yang perlu disemarakkan untuk dihargai semua lapisan Keluarga Malaysiq,” katanya.
Perasmian ini diserikan dengan persembahan pembukaan PAT oleh Artis Budaya Kumpulan Kesenian JKKN.
Juga diadakan persembahan nyanyian oleh Anisa Izuria yang diiringi peragaan Busana Kebaya dan Baju Kurung Perlis.
Selain itu juga diadakan persembahan Canggung yang merupakan tarian tradisional Perlis oleh Kumpulan Veteran Anak Seni Perlis.
Juga diadakan persembahan nyanyian oleh Ezad Lazim, persembahan Alu Bunyi dan pertandingan akhir Badang Perlis. – SM