Sukan

186 ambil bahagian Kejohanan Woodball Terbuka UiTM Perlis

Seramai 186 orang peserta mengambil bahagian di dalam Kejohanan Woodball Terbuka UiTM Cawangan Perlis 2022 Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan yang ke-79 DYMM Tuanku Raja Perlis yang berlangsung di Laman Woodball Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra UiTM Arau dari 20-22 Mei 2022.

Pasukan-pasukan yang mengambil bahagian ialah Perlis (4), UiTM (2), Perlis Titan (2), Pahang (2), Johor (3), Pulau Pinang (2), MWA (1), JUPEM (1), Kuala Lumpur (3) dan Terengganu (2) melibatkan 22 pasukan lelaki dan 9 pasukan wanita.

108 menyertai kategori ‘Perseorangan Lelaki’, 45 ‘Perseorangan Wanita’, 21 ‘Perseorangan Remaja Lelaki’ dan 12 ‘Perseorangan Remaja Wanita’.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis penutupan pertandingan berkenaan yang diadakan di Dewan Sri Semarak Kampus Arau pada petang ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor dan Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi.

Dalam titah Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Penaung DiRaja Persatuan Woodball Negeri Perlis, pada tahun 2019, Persatuan Woodball Malaysia telah merancang dan bersedia untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan ‘World Cup Woodball Championship 2020’, yang sepatutnya diadakan di Perlis, dengan kerjasama Persatuan Woodball Negeri Perlis. Namun berikutan pandemik Covid-19 yang menyerang dunia, hajat tersebut tidak kesampaian.

Kini, Persatuan Woodball Malaysia cuba untuk terus menarik minat orang ramai dengan mengadakan kejohanan-kejohanan di peringkat domestik, seperti ‘UiTM Perlis Open Woodball Championship 2022’, dan ‘Malaysian National Woodball League’ yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, di mana giliran tuan rumah yang seterusnya adalah Terengganu pada 2-5 Jun 2022, dan akan diikuti oleh negeri Perlis samada bulan Oktober atau November nanti.

Tuanku Raja Muda juga amat berharap agar semua IPTA terutamanya di Perlis akan terus memainkan peranan yang sama penting untuk memajukan lagi sukan woodball ini. Usaha untuk mempopularkan sukan ini tidak mampu digapai sekiranya hanya ada beberapa pihak sahaja yang menunjukkan kesungguhan.

(Visited 481 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button