Alam Sekitar

Pertingkatkan persefahaman dalam komuniti dan persekitaran

DRESDEN (Jerman) 30 Sept. – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mengingatkan semua pihak agar sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan persefahaman dalam komuniti dan persekitaran.

Menurut Baginda, ‘Persefahaman antara pihak yang mempunyai latar belakang yang berbeza, boleh dicapai dengan cara meningkatkan kerjasama dan komunikasi antara individu, organisasi, dan komuniti untuk mencapai matlamat yang sama’.

‘Selain itu, perdebatan pada perkara-perkara yang tidak mendapatkan faedah hendaklah dijauhkan serta perselisihan kecil hendaklah tidak diperbesarkan’.

Demikian titah Tuanku Raja Muda menurut kenyataan dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan singgah di Pusat Kebudayaan dan Pendidikan Marwa Elsherbiny (MKEZ) yang juga dikenali sebagai ‘Kultur-und Bildungszentrum’ Dresden, Jerman.

Baginda berkenan menyampaikan sumbangan ‘Fi Sabilillah MAIPs’ untuk aktiviti dakwah kemasyarakatan di Pusat Islam yang juga merupakan sebuah masjid berkenaan yang diterima oleh Bendaharinya, Limuda Abu Daleb.

“Penglibatan generasi muda dalam usaha-usaha untuk mempertahankan persefahaman di kalangan komuniti hendaklah dilaksanakan dengan memberikan peluang untuk mereka mengambil bahagian dalam projek-projek dan program-program yang relevan,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra

Untuk rekod, MKEZ Dresden telah diasaskan pada 6 Mei 2009 bertujuan untuk mewujudkan sebuah pusat aktiviti bagi umat Islam dari pelbagai bangsa. Pada masa ini pusat tersebut juga diwujudkan bagi tujuan mengurangkan prasangka terhadap Islam dan menyokong kewujudan bersama secara aman.

Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat ke bandar Leipzig dan Dresden sempena keberangkatan ke Berlin bagi menerima undangan menghadiri ‘InnoTrans 2024’ bagi menyaksikan pemeteraian perjanjian persefahaman antara Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd. dengan Siemens Mobility Sdn. Bhd..

Foto : MAIPs.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button