Nasional

Pertanian pintar jadi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030

KAEDAH pertanian pintar menjadi fokus memodenkan sektortersebut dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob strategi pemodenan dan pertanian pintar akan menjadi kunci bagi menjayakan transformasi sektor agromakanan.

Katanya, DAN 2.0 bakal dipacu melalui dana pembiayaan, insentif pelaburan dan tenaga kerja bagi meningkatkan tahap penerimagunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat.

Tambah beliau, keutamaan dasar kali ini ditumpukan kepada usaha mempertingkatkan produktiviti dan pendapatan serta kualiti hidup dalam kalangan pengeluar sektor makanan.

“Dalam hal berkaitan, bidang Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersilan dan Inovasi akan menjadi nadi pembangunan sektor ini. Seiring itu, kerjasama pelbagai agensi penyelidikan kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, turut digembleng dalam menjayakan DAN 2.0 ini.

“Melalui kerangka DAN 2.0 beserta dokumen pelan tindakan yang telah disediakan, sasaran purata pertumbuhan sektor agromakanan dijangka berkembang pada kadar 4.5% setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada majlis pelancaran DAN 2.0 hari ini. Tempoh pelaksanaan DAN 2.0 selari dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Pertanian pintar merupakan antara Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama yang telah digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Melalui kerangka DAN 2.0 beserta dokumen pelan tindakan yang telah disediakan, sasaran purata pertumbuhan sektor agromakanan dijangka berkembang pada kadar 4.5% setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas.

DAN 2.0 merupakan kesinambungan Dasar Agromakanan Negara 2011-2020 yang bertujuan menjamin bekalan makanan negara mencukupi dan selamat, serta menjadikan sektor agromakanan berdaya saing.

Melalui DAN 2011-2020 sektor agromakanan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar negara dengan pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.8% pada tahun 2020.

“Peningkatan ini hampir 100% berbanding pertumbuhan KDNK pada 2010.

“Jumlah eksport bahan makanan turut meningkat dengan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.4%, iaitu daripada RM18.1 bilion kepada RM33.7 bilion bagi tempoh tahun yang sama,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, sistem makanan negara perlu diperkukuh supaya lebih berdaya tahan dan mampan, terutama sebagai persediaan menangani krisis global selain pandemik COVID-19 yang mungkin berlaku pada masa akan datang.

Ini termasuklah meningkatkan prestasi rangkaian di semua aktiviti yang berkaitan pengeluaran, pemprosesan, pengedaran, penyediaan, dan termasuklah keselamatan makanan serta pemakanan.

Sebelum ini kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara pada 25 Mac 2020 bagi merangka dasar sekuriti makanan secara holistik.

Menerusi platform tersebut Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 telah dibangunkan dengan mengambil kira isu dan cabaran sekuriti makanan negara.

Kesemua dasar dan pelan itu akan saling melengkapi, bagi menjayakan usaha negara dalam meningkatkan kemampanan sistem agromakanan. -SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button