Persiapan majlis perkahwinan Kamal Adli dan Uqasha dah 80 peratus
PASANGAN pelakon, Kamal Adli dan Uqasha memberitahu yang persiapan perkahwinan mereka sudah 80 peratus selesai.
Menurut Uqasha, buat masa ini, kerjaya lakonan dan perniagaan masih menjadi keutamaan sebelum dia memberi fokus pada majlis perkahwinannya.
“Persiapan majlis perkahwinan kami seperti dipermudahkan. Sehingga kini persiapan untuk majlis sudah siap hampir 80 peratus siap. Setelah penggambaran Rindu Awak Separuh Nyawa selesai, saya akan fokus kepada perniagaan.
“Selepas itu barulah saya akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada majlis perkahwinan kami. Kalau ikut apa yang dirancang, kami separat memilih sebuah pusat peranginan tanah tinggi untuk diijabkabulkan,” katanya.
Dalam pada itu, Uqasha turut memberitahu yang dia sudah merancang tiga majlis untuk perkahwinan tersebut.
Berkenaan tiga majlis yang akan diadakan, Uqasha memberitahu majlis pertama dikhususkan untuk keluarga, teman rapat serta pihak media, manakala majlis kedua pula dikhaskan untuk rakan artis dan majlis ketiga pula diadakan untuk meraikan peminat.
“Memandangkan kita masih berdepan dengan pandemik Covid-19, kami berharap ketika itu keadaan semakin baik dan tiada masalah untuk aktiviti merentas negeri.
“Lagipun perancang perkahwinan kami memang sangat menitik beratkan soal pematuhan Prosuder Operasi Standard (SOP). Undangan untuk setiap majlis kami memang sangat terhad bagi tidak melanggar SOP, malah untuk lokasi pertama hanya 350 tetamu yang dibenarkan,” katanya.
Sementara itu, Kamal pula menyatakan bahawa dia akan mengikut sahaja setiap keputusan Uqasha kerana ingin menggembirakan hati bakal isterinya.
Mengakui sangat teruja untuk melangkah ke alam perkahwinan, namun Kamal berharap majlis mereka akan dipermudahkan terutama di dalam berdepan cabaran Covid-19.
“Alhamdulillah, saya sangat teruja membuat persiapan perkahwinan dan banyak benda yang saya pelajari. Apa pun saya hanya ingin Uqasha gembira kerana dia mempunyai majlis perkhawinan impiannya.
“Apa temanya, biarlah ia menjadi rahsia kami berdua terlebih dulu. Kami akan beritahu apabila tiba masanya,” kata Kamal.
Sebelum ini, Kamal membuat kejutan apabila melamar Uqasha secara terbuka di Anugerah MeleTOP Era 2020 pada Disember lalu yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen. -SM