Nasional

Saranan dua Ahli Parlimen PKR disambut baik KPDNHEP

DUA Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyuarakan keprihatinan mereka terhadap undang-undang persaingan di negara ini.

Pandangan oleh kedua-dua Ahli Parlimen itu, Wong Chen (Subang) dan Nurul Izzah (Permatang Pauh) disambut baik oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Berdasarkan laporan media, kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan mencadangkan agar undang-undang persaingan di negara ini dikaji semula berdasarkan amalan monopoli oleh sesetengah syarikat.

“Kedua-dua Ahli Parlimen tersebut juga dilaporkan telah menamakan syarikat penyedia perkhidmatan pengangkutan e-hailing Grab sebagai contoh monopoli persaingan.

“Dan menyarankan agar monopoli syarikat pemula niaga bernilai berbillion dollar itu harus dipecahkan,” ujar Alexander dalam kenyataannya hari ini.

Buat pengetahuan umum, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang merupakan salah satu agensi di bawah KPNHEP diwujudkan untuk menguatkuasakan Akta Persaingan 2010 (AP 2010).

Ia bagi melindungi proses persaingan dalam pasaran komersial selain memastikan budaya persaingan yang kondusif bagi menyediakan pasaran yang baik untuk pengguna, peniaga dan ekonomi secara keseluruhan.

Kata Alexander lagi, sejak penubuhannya, MyCC telah mengambil tindakan tegas terhadap beberapa syarikat seperti MyEG Services Sdn. Bhd., DagangNet Sdn. Bhd., Malaysian Airlines dan AirAsia(sekadar menyebut beberapa nama) yang didapati melanggar perlakuan anti persaingan sama ada melalui perjanjian antipersaingan atau kartel dan penyalahgunaan kuasa dominan atau monopoli.

“Setakat ini, pihak MyCC telah mengeluarkan Keputusan Akhir terhadap syarikat-syarikat tersebut yang melibatkan jumlah denda yang melebihi RM160 juta,” kata beliau.

Pada Oktober 2019, KPDNHEP melalui MyCC telah mengeluarkan satu Keputusan Cadangan terhadap Grab kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan dominannya dalam pasaran yang berkaitan dengan perkhidmatannya.

Keputusan Akhir bagi kes ini akan dikeluarkan oleh MyCC setelah mendengar dan meneliti secara terperinci hujahan daripada pihak Grab yang telah dibuat barubaru ini, kata Alexander.

“Grab, dalam kes ini, juga telah mencabar Keputusan Cadangan MyCC pada peringkat Mahkamah Rayuan.

“Berbeza dengan negara-negara luar, Akta Persaingan 2010 tidak memberikan kuasa kepada MyCC untuk mengawal penggabungan dan pengambilalihan syarikat yang mana pada akhirnya membentuk suatu entiti monopoli dalam negara,” jelas beliau.

Memahami keperluan ini, MyCC sudahpun memulakan proses untuk meminda Akta Persaingan 2010 untuk memperkenalkan kuasa tersebut dan merancang untuk membentangkan pindaan akta berkaitan perkara ini pada hujung tahun 2021.

“Melalui kuasa ini, sebarang penggabungan dan pengambilalihan syarikat perlu mendapat kebenaran daripada MyCC.

“Ini bertujuan mengelakkan penumpuan pasaran yang boleh menggugat pasaran. Mana-mana syarikat yang bergabung tanpa kebenaran boleh diarahkan untuk memecahkan balik gabungan itu dan boleh dikenakan denda,” kata Alexander dalam kenyataan yang sama.

Oleh yang demikian, kata Menteri KPDNHEP itu lagi, saranan daripada dua Ahli Parlimen PKR itu disambut baik untuk mengekang kewujudan monopoli yang wujud akibat dari penggabungan dan pengambilalihan syarikat yang boleh menjejaskan persaingan dalam pasaran. – SM

(Visited 226 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button