Nasional

Persiap mental, fizikal hadapi Ramadan yang berbeza

Kedatangan Ramadan membuka peluang kepada umat Islam melipatgandakan ibadat fardu dan amalan sunat seperti membaca Al-Quran, menunaikan solat tarawih, zikir dan doa, qiamullail dan bersedekah bagi meraih keberkatan ‘penghulu bulan’ itu.

Namun tahun ini, umat Islam perlu menerima hakikat bahawa pengisian Ramadan yang akan bermula esok, tidak lagi sama seperti tahun-tahun sebelum ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang sedang melanda dunia ketika ini.

Bagaimanapun, kekangan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang bertujuan mengimarahkan Ramadan tidak seharusnya menjadi alasan untuk umat Islam melihat hikmah dan nikmat menyambut Ramadan dalam tempoh PKP dilaksanakan.

Ketua Penolong Pengarah Masjid Negara Dr Amru Alhaz Adnan berkata berdasar keadaan yang dihadapi kini, umat Islam harus mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk mendepani perubahan dan mengadaptasi norma luar biasa ini.

“Apa yang penting, umat Islam harus terus mempertingkatkan ibadah dan ilmu agama. Inilah masanya untuk kita memperbanyakkan bacaan kitab-kitab agama, ibadah sunat, serta menggunakan teknologi yang ada untuk mengikuti kelas tadarus Al-Quran (kelas khas bagi memperbetulkan bacaan Al-Quran) secara dalam talian,” kata Amru Alhaz ketika dihubungi Bernama, hari ni.

Mengulas lanjut, beliau berkata dengan wujudnya kemudahan internet dan telefon pintar, umat Islam di Malaysia dapat terus mengikuti kelas-kelas tadarus Al-Quran secara dalam talian yang banyak ditawarkan figura agama yang kebanyakannya percuma tanpa dikenakan bayaran.

“Kelas sebegini ada yang ditawarkan dalam bentuk pengajian secara beramai-ramai ataupun perseorangan, terpulang kepada keselesaan individu yang ingin mengikuti kelas pengajian dalam talian ini.

“Oleh itu, carilah kelas tadarus Al-Quran dalam talian yang berbentuk interaksi dua hala, supaya kita boleh mendengar apa yang diajarkan guru dan guru pula boleh menyemak dan membetulkan bacaan Al-Quran kita. Kelas-kelas ini biasanya mudah didapati di media sosial dan aplikasi Google Meet, Skype dan Zoom,” jelasnya.

Beliau turut menasihatkan ketua keluarga terutama suami untuk terus belajar memperbetulkan bacaan Al-Quran dan ilmu Tajwid, di samping melatih anak lelaki mereka untuk berani memimpin solat-solat fardu dan sunat.

“Inilah masa terbaik untuk ketua keluarga menampilkan kredibiliti sebagai seorang pemimpin, serta perlu galakkan anak lelaki menjadi imam kerana satu hari nanti mereka juga bakal menjadi ketua keluarga,” kata Amru Alhaz.

Dalam pada itu, pendakwah bebas Syed Shahridzan Syed Mohamed berkata pendakwah dan guru agama seharusnya memanfaatkan teknologi yang ada, contohnya, media sosial untuk dijadikan platform dakwah alternatif kerana ia mudah diakses oleh orang ramai, terutama ketika tempoh PKP ini.

“Seperti saya, kuliah dalam talian menerusi laman Facebook yang paling mendapat sambutan ialah kelas Fiqh (hukum hakam agama) kerana orang ramai boleh terus melontarkan soalan dan saya akan dapat menjawab terus soalan yang ditanya sekiranya sempat.

“Kuliah dalam talian ini sememangnya interaktif dan bermanfaat kerana ianya percuma dan boleh ditonton tanpa mengganggu apa yang sedang penonton lakukan ketika waktu kuliah itu disiarkan,” katanya.

Beliau turut berharap pendakwah yang menggunakan platform media sosial untuk sentiasa menambah ilmu pengetahuan berkaitan teknologi bagi memastikan persembahan kuliah dalam talian terus kreatif dan tidak terlalu membosankan penonton.

“Antara cabaran kuliah dalam talian adalah bagaimana ingin memastikan penonton tidak berasa bosan. Oleh itu, pendakwah boleh menggunakan aplikasi berkaitan contohnya Open Broadcaster Software yang mampu mempamerkan tayangan slaid ataupun pautan video dari Youtube pada satu-satu masa bagi  menjadikan kuliah mereka lebih kreatif,” katanya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button