Persatuan Banjar Malaysia perkasa budaya dan ekonomi
PERSATUAN Banjar Malaysia (PBM) merupakan sebuah platform yang menyatukan individu-individu keturunan Banjar di seluruh Malaysia. Hingga kini, seramai 4,451 ahli telah mendaftar, mencerminkan semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan masyarakat Banjar di negara ini.
Dalam mesyuarat agung yang diadakan semalam di Ibu Pejabat Pusat Agensi Angkasa Malaysia, lantikan terbaru Yang Dipertua, Azli Kamil, 55, telah dilantik untuk menerajui persatuan ini.
Menurutnya Azli Kamil, lantikan ini adalah satu amanah besar yang memerlukan komitmen tinggi, terutama dalam usaha memperkenalkan dan memelihara budaya Banjar di seluruh Malaysia.
“Ini adalah tanggung jawab yang besar bagi saya. Persatuan Banjar Malaysia bukan sekadar sebuah komuniti, tetapi sebuah kelompok suku kaum yang amat menitikberatkan nilai kekeluargaan dan silaturahim. Saya bertekad untuk memastikan nilai-nilai murni ini terus subur di kalangan masyarakat Banjar, dan dapat diteruskan oleh generasi akan datang,” ujarnya.
Azli juga menekankan pentingnya persatuan ini berperanan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat, lebih-lebih lagi dalam negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum dan budaya.
Beliau yang sedang berkhidmat di penjawat awam amat komitmen untuk memastikan aktiviti-aktiviti persatuan berjalan lancar dan memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan.
“Bukan sahaja untuk menambah jumlah ahli, tetapi memastikan bahawa setiap aktiviti yang dilaksanakan memberi impak positif, terutamanya dalam merangsang ekonomi ahli.
”Di samping itu, kami juga akan meneliti semula pelembagaan persatuan agar ia menjadi lebih mudah, lancar, dan telus dalam setiap aspek pengurusan,” tambahnya.
Dalam majlis yang sama, Datin Hasnah Awang, Ahli Majlis PBM yang juga baru dilantik, berkongsi visi untuk memperkenalkan lebih mendalam budaya dan tradisi Banjar kepada masyarakat umum dalam masa yang sama beliau turut menekankan pentingnya pemberdayaan wanita dalam persatuan ini.
“Wanita Banjar harus lebih aktif, kerana saya melihat banyak wanita Banjar yang kurang memberi suara dalam persatuan. Mereka mempunyai potensi besar dalam ekonomi, dan saya ingin melihat mereka lebih maju dalam bidang ini,” kata Datin Hasnah.
Beliau juga bertekad untuk meneruskan perjuangan mempromosikan budaya Banjar, serta memastikan generasi muda memahami dengan jelas apa itu ‘Banjar’ dan adat-istiadat yang mengiringinya.
“Kita mahu mempersiapkan generasi masa depan yang bukan sahaja mengenal budaya mereka, tetapi juga dapat menghidupkan tradisi ini dalam konteks dunia moden,” tambahnya.
Dengan semangat yang tinggi dan komitmen yang teguh, Persatuan Banjar Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai matlamatnya: memperkasa budaya, memperkukuh ekonomi, dan menyatukan komuniti Banjar di seluruh Malaysia.