Nasionalpilihan

Perlu peruntukan KBS bina gelanggang angkat berat di Nyalas

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diminta untuk mempertimbangkan kelulusan peruntukan bagi membina sebuah bangunan buat atlet Kelab Angkat Berat Nyalas menjalani latihan.

Penasihatnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairol Nizam Roslan berkata, permohonan peruntukan tersebut telah dibuat tahun lalu.

Menurutnya, permohonan itu dibuat memandangkan kelab itu berjaya melahirkan ramai atlet remaja lelaki dan wanita mewakili Melaka pada di Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Selain itu kata Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, dua atlet daripada kelab itu meraih dua emas pada Kejohanan Angkat Berat Youth, Junior dan Senior Kebangsaan 2023 di Rompin, Pahang baru-baru ini.

“Cuma saya difahamkan oleh Timbalan Menteri KBS (Adam Adli Abd. Halim) senarai projek ini sudah ada di RP3 tetapi kelulusannya belum ada.

“Kalau Menteri KBS (Hannah Yeoh) mendengar keluhan kita ini, saya harap permohonan (peruntukan) ini boleh disegerakan.

“Kita sudah ada 30 atlet pelapis di peringkat sekolah kebangsaan dan sekolah menengah yang berlatih di Akademi Angkat Berat Nyalas di Japerun Asahan namun kita perlukan sebuah bangunan yang selesa untuk atlet berlatih,” ujarnya di Dewan Makan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Selandar dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan atlet angkat berat yang meraih dua emas, satu perak dan dua gangsa di Kejohanan Angkat Berat Youth, Junior dan Senior Kebangsaan 2023 yang berakhir
di Rompin, Pahang baru-baru ini.

Mengulas lanjut Fairol Nizam berkata, sejak mengambil alih jawatan penasihat kelab itu tahun lalu beliau telah berjaya menempatkan 13 atlet ke Sekolah Sukan Melaka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota.

Selain itu katanya, atlet wanita Nurul Syasya Khairina Syamsur meraih emas Sukan Sukma 2022 bagi kategori 49 kilogram (kg) adalah atlet cemerlang bakal mewakili negara tidak lama lagi.

“Justeru berdasarkan pencapaian kelab ini ada kewajarannya KBS menimbangkan untuk meluluskan sejumlah peruntukan bagi merealisasikan hasrat membina bangunan yang sempurna untuk atlet menjalani latihan,” ujarnya.

Katanya, bagi pihak Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM) sedia memperuntukan RM70,000 bagi pembelian peralatan angkat berat jika kelab mempunyai bangunan sendiri nanti.

“Pada masa ini atlet gunakan dewan Japerun untuk berlatih. Siapa yang pernah datang ke sini sudah tentu sedih tengok tempat latihan atlet yang serba kekurangan,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button