Perlis, Kedah dan Melaka jadi projek rintis bayaran bantuan tanpa tunai
Perlis, Kedah dan Melaka dipilih menyertai Projek Rintis Bayaran Bantuan Tanpa Tunai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dikenali sebagai JKMpay dalam tempoh enam bulan bermula 1 Feb.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata bantuan tanpa tunai JKM itu melibatkan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kubang Pasu, PKMD Kota Setar, PKMD Melaka Tengah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis.
“Projek ini melibatkan 700 orang terdiri daripada penerima bantuan baharu iaitu 210 orang di Perlis, 260 orang di Kedah dan 230 orang di Melaka,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Terdahulu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil merasmikan pelancaran pembayaran bantuan tanpa tunai JKM di Hotel Putra Regency hari ini.
Turut berangkat anakanda baginda Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dr Maziah Che Yusoff, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof dan barisan exco kerajaan negeri.
Rina berkata sebanyak 50 peratus daripada jumlah kadar bantuan akan dikreditkan ke dalam kad mesin juruwang automatik (ATM) atau Debit Bank Islam penerima.
Katanya manakala 50 peratus lagi akan dimasukkan ke dalam Kad JKMPay.
“Sebagai permulaan, penerima bantuan akan berbelanja dengan membeli barang keperluan asas di 250 kedai yang berdaftar dengan Bank Islam dan ia akan ditambah dari semasa ke semasa,” katanya.
Rina berkata selepas enam bulan laporan maklum balas akan dibuat sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara.
— BERNAMA