Rencah Hidup

Perlis bersiap sedia untuk Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail

HAT YAI 25 Mac – Seluruh warga negeri Perlis diseru untuk menyemarakkan lagi suasana dengan menceriakan premis kediaman dan tempat kerja masing-masing bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Raja-Raja Pemerintah atau wakil-wakil bersama Tuan-Tuan Yang Terutama dari seluruh negara dijadualkan akan berangkat ke Negeri Perlis bagi menghadiri Majlis Santapan Malam DiRaja di Istana Arau pada 17 April 2025 yang akan datang nanti.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melancarkan ‘Promosi Masakan Perlis’ di Marada Cafe, Rattakarn Soi 11 Rd, Khlong Hae, Hat Yai, Songkhla, Thailand pada sabtu.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda puteri Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Turut hadir sama adalah Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi.

Program yang dianjurkan oleh restoran berkenaan dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), GTK Perlis dan Shamizza Kitchen Kg Gial ini mengangkat keunikan ‘Masakan Kurma Daging Perlis’, hidangan warisan negeri yang memikat dengan rasa autentik serta gabungan rempah ratus yang kaya aroma dan cita rasa.

Lebih daripada sekadar memperkenalkan sajian tradisional, inisiatif ini menjadi jambatan budaya yang merapatkan hubungan antara Perlis dan masyarakat antarabangsa khususnya negara Thailand dan beberapa benua lain termasuklah Eropah, Asia, serta Timur Tengah menerusi keindahan seni kulinari ini.

Sebagai rekod, Marada Cafe merupakan kafe yang berkonsepkan mewah dan selesa serta menyediakan makanan dan minuman yang halal. Pelbagai jenis masakan yang ditawarkan kepada tetamu termasuklah Tom Yam, Sushi, ‘Pasta’, ‘Steak’ dan beraneka jenis minuman.

FOTO


PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button