Nasionalpilihan

Perkeso disaran bina tiga Pusat Rehabilitasi baharu

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) disaran untuk membina tiga lagi Pusat Rehabilitasi Perkeso yang baharu termasuk di Sabah dan Sarawak dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, cadangan untuk membina tiga lagi pusat tersebut dibuat agar Perkeso boleh mengembangkan perkhidmatan itu ke seluruh negara.

Beliau berkata, atas keberkesanan dan manfaat yang diterima oleh semua pencarum dan rakyat Malaysia adalah wajar Perkeso menimbang cadangan tersebut.

Menurutnya, setakat ini hanya Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Ayer Keroh di sini satu-satunya beroperasi manakala dua lagi di Ipoh, Perak dijangka siap dibina tahun ini manakala di Terengganu akan dibina tidak lama lagi.

“Saya telah meninjau beberapa kemudahan dan merasa amat bangga kerana pusat ini yang berusia 10 tahun siap dibina pada 2014 telah memberi manfaat kepada pencarum dan bukan pencarum.

“Saya juga ingin lihat tiga lagi pusat baharu dapat dibina dalam tempoh lima tahun termasuk di Sabah dan Sarawak kerana setakat ini tiga pusat yang ada semuanya berada di Semenanjung,” ujarnya kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Mohammed.

Mengulas lanjut Steven Sim berkata, Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak yang dibina pada 2014 telah memberikan perkhidmatan kepada lebih 15,000 pencarum dan bukan pencarum untuk menjalani pemulihan selepas terbabit dalam kemalangan atau sakit sewaktu bertugas.

Menurutnya, pusat itu yang menjangkau usia 10 tahun juga telah berjaya memulihkan 70 peratus atau 10,000 pesakit untuk mereka kembali bekerja selepas menjalani rawatan pemulihan di sini.

“Semasa meninjau saya sempat bertemu dengan seorang pesakit dari Australia yang datang ke sini untuk membuat rawatan dan dia mengakui pusat ini mempunyai kemudahan lebih baik dari negaranya,” katanya.

Sehubungan itu ujarnya, pusat ini akan dinaiktaraf terutama membabitkan bilik-bilik asrama dan pembinaan sebuah bangunan baharu Pusat Neuromodulasi tahun ini. – SM

BACA Kementerian Sumber Manusia melancarkan Insentif Kerjaya Madani

BACA Lima pegawai Kementerian Sumber Manusia dipecat

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button