NasionalNegeri

Perkasa bahasa dan sastera Melayu di era digital – Raja Muda Perlis

DALAM mengikuti perkembangan era digital yang semakin meluas, usaha untuk memartabatkan bahasa dan sastera Melayu perlu diperkasakan lagi secara terus menerus.

Para penulis dan penerbit seharusnya terus bergerak seiring dengan perkembangan zaman dalam mengangkat dan mendokong bahasa Melayu.

Landskap baharu perkembangan digital sewajarnya digunakan dengan tahap maksima untuk membawa bahasa dan sastera Melayu ke mercu yang lebih baik.

Peranan serta keindahan bahasa dan sastera Melayu perlu digunakan sepenuhnya walaupun kita kini berada di zaman sains dan teknologi yang pesat membangun.

Bahkan ia seharusnya menjadi ikonik dalam menghadapi era globalisasi yang semakin rencam.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyaksikan simbolik penyerahan van jenazah yang diwakafkan oleh Syarikat Tradewinds International melalui Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazim Mohd Noor kepada Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail selaku Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Mursyid Pauh Guring, Pauh, Arau baru-baru ini.

Di program yang sama Raja Muda selaku Yang DiPertua MAIPs menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21,000 kepada seramai 30 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid yang sama untuk diagihkan oleh amilnya, Ku Mat Isa Ku Ismail.

Masing-masing akan menerima RM700 setiap seorang.

Tuanku Syed Faizuddin juga bertitah, “Pelbagai usaha di peringkat antarabangsa telah pun dilaksanakan untuk mengembalikan bahasa Melayu sebagai Bahasa supranasional, iaitu bahasa serantau dan bahasa antarabangsa, sepertimana pada zaman kegemilangan kerajaan Kesultanan Melayu suatu ketika dahulu, dan amatlah penting agar usaha ini turut disokong oleh segenap lapisan peringkat terutama sekali di peringkat tempatan untuk lebih memperkasakan usaha-usaha tersebut”.

Mohd Nazim pula menambah bahawa ‘Merujuk kepada prinsip Keluhuran Perlembagaan dalam Rukun Negara melalui Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu, maka bahasa Melayu sepatutnya diletakkan mengatasi bahasa-bahasa lain selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bahasa Melayu juga sepatutnya menjadi bahasa yang diagungkan dan dibanggakan oleh seluruh lapisan masyarakat dan institusi-institusi ilmu di Malaysia. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button