‘Perkampungan Persaraan’ menjelang 2023 – Zuraida
Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan menghasilkan konsep model dan bekerjasama dengan rakan strategik untuk membangunkan beberapa perkampungan persaraan di tanah milik mereka, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata PR1MA kini sedang merangka dasar yang menumpukan kepada keperluan dan menangani semua elemen asas yang diperlukan warga emas supaya mereka dapat hidup dalam persekitaran harmoni dengan kemudahan kesihatan mencukupi.
Beliau berkata pembangunan perkampungan persaraan adalah model perniagaan baharu yang diguna pakai PR1MA dengan menyediakan infrastruktur yang lengkap dan canggih untuk warga emas.
“Kami ada beberapa pihak yang berminat dan mereka akan mengemukakan cadangan. Kami akan melihat model dan konsep perniagaan dan akan bekerjasama dengan mereka,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Penuaan Penduduk Malaysia secara maya, hari ini.
Menurutnya, cadangan perkampungan persaraan itu dijangka siap menjelang 2023 dan tumpuan adalah terhadap konsep kediaman bertanah dan bertingkat rendah.
Buat masa ini, katanya, beberapa lokasi strategik dikenal pasti iaitu di Pulau Pinang dan Melaka susulan persekitaran yang tenang.
Adalah penting untuk mempunyai perkampungan persaraan kerana apabila usia seseorang itu bertambah, mereka mencari konsep kehidupan yang berbeza iaitu ingin berada bersama kumpulan rakan sebaya untuk berkongsi idea, pengetahuan serta bersosial.
“Mereka harus tinggal bersama sebagai satu komuniti supaya mereka lebih produktif. Usia tua dan kesihatan yang sihat dapat memberi peluang untuk mereka berinteraksi dengan rakan sebaya serta melakukan aktiviti dengan rentak tersendiri,” katanya.
Mengenai kos tinggal di perkampungan tersebut, Zuraida berkata harga sewaan adalah berpatutan iaitu antara RM400 hingga RM600 sebulan bergantung kepada kemudahan dan penjagaan yang diperlukan.
Menurutnya, kini terdapat dua juta warga emas berusia 60 tahun ke atas di Malaysia.
— BERNAMA