Peristiwa berdarah Mavi Marmara tidak dilupakan
Rakyat Malaysia tidak akan sesekali melupakan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis ke atas kapal Mavi Marmara.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tragedi pada 31 Mei 2010 itu berlaku apabila tentera Israel menyerang dan bertindak membunuh beberapa peserta misi yang dalam perjalanan ke Gaza.
“Konvoi flotilla yang dalam misi pelayaran membawa bantuan kemanusiaan.
“Seramai 16 aktivis terbunuh, manakala 30 lagi tercedera dalam kekejaman tersebut.
“Walau telah genap 11 tahun tragedi berdarah itu berlalu berapa hari lalu, dukanya masih diingati,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi beliau masih mengingati rakaman video anak kapal dan peserta konvoi itu yang cuba mempertahankan misi bantuan mereka.
“Meskipun tanpa sebarang senjata api, mereka memberi tentangan kepada tentera Zionis.
“Semoga roh mereka yang terkorban dalam serangan itu ditempatkan bersama para syuhada. Al-Fatihah,” ujar beliau.