Belang Bertempat

Perihal pemecatan Isham Jalil daripada UMNO

NAMA Isham Jalil tidak akan berkubur selagi bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO ini berakal waras, ada rasional dalam penulisan beliau sama ada di ruangan Facebook beliau sendiri ataupun dikongsikan dalam SUARA MERDEKA.

Ini adalah catatan Isham perihal pemecatan beliau daripada UMNO oleh Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pagi tadi media antarabangsa dari Bloomberg telah menghubungi saya dan bertanya berkenaan keadaan politik di Malaysia. Saya maklumkan kepada mereka bahawa saya akan ulas berkenaannya dalam masa terdekat.

Mereka juga bertanya apa rancangan saya selepas ini. Sebelum ini, ramai sahabat dan wartawan tempatan telah meminta saya mengulas berkenaan pemecatan saya dari UMNO.

Oleh itu sebelum saya beralih ke persoalan-persoalan lain berkenaan keadaan politik, baiklah saya menulis secara ringkas berkenaan hal pemecatan saya ini dahulu.

Beberapa hari lepas Presiden UMNO DS Zahid Hamidi telah mengambil keputusan untuk memecat saya. Keputusan ini dibuat tanpa melalui Lembaga Disiplin.

Dia berselindung di belakang Majlis Tertinggi UMNO dan berkata, ini adalah keputusan Majlis Tertinggi dan kononnya bukan keputusan dia.

Zahid juga berkata, sebab kekalahan UMNO di Kemaman adalah kerana 10,000 pengundi putih UMNO tidak keluar mengundi.

Dia masih tidak mahu ambil tanggungjawab dan kerap menyalahkan orang lain atas kegagalan demi kegagalan, kali ini dia salahkan pengundi putih UMNO.

Sebagai Presiden dia sepatutnya mengambil tanggungjawab dan sebaliknya bertanya mengapa beribu-ribu pengundi putih ini tidak keluar.

Setakat hari ini ramai pemimpin UMNO telah dipecat oleh Presiden apabila mereka (termasuk saya) mengkritik atau tidak bersetuju dengan keputusannya.

Jika dikira jumlah ahli yang telah dipecat atas nama “pembersihan” atau “pemutihan” di akar-akar umbi, jumlah ini adalah lebih ramai, mungkin beribu atau berpuluh ribu.

Jika ditolak jumlah ini termasuk pengikut-pengikut mereka maka jumlah sebenar ahli UMNO yang aktif dan masih menyokong UMNO kini mungkin hanya tinggal satu per tiga dari tiga juta ahli yang selalu digembar-gemburkan.

Perkara ini juga menjelaskan antara sebab mengapa UMNO kalah teruk pada enam Pilihanraya Negeri baru-baru ini di mana lebih ramai dan berjuta-juta penyokong UMNO yang mengundi UMNO dahulu tidak lagi mengundi UMNO kini.

Keadaan telah menjadi semakin teruk selepas Presiden UMNO mengambil keputusan untuk pergi pilihanraya bersama PH dan DAP.

Pada penggal ini Zahid sebenarnya tidak ada mandat daripada akar umbi sebagai Presiden untuk menentukan halatuju parti atau memecat-mecat ahli terutama yang menang.

Ini kerana dia tidak bertanding jawatan Presiden pada penggal ini dan hanya berpegang kepada kerusi ini kerana dia sendiri telah memutuskan bahawa jawatannya ini tidak dipertandingkan walau pun akar umbi UMNO rata-rata mahu jawatan tersebut dipertandingkan selepas kekalahan teruk UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lepas.

Pada ketika itu rata-rata akar umbi UMNO termasuk saya sendiri terpaksa turut kemahuan Zahid tersebut walaupun di dalam hati ramai yang tidak bersetuju.

Keputusan ini dibawa ke perhimpunan khas di Dewan Merdeka dengan dua ribu perwakilan UMNO atau 0.1 peratus ahli UMNO bersetuju.

Namun dia takut untuk bertanya 99.9 peratus lagi ahli UMNO di akar umbi yang tidak berada dalam dewan walaupun 99.9 peratus inilah yang biasanya menjadi pengundi-pengundi putih UMNO apabila pilihanraya.

Sebab itu selepas Zahid mengambil keputusan untuk pergi pilihanraya bersama PH dan DAP, saya telah mencadangkan supaya dia membuat referendum kepada ahli-ahli UMNO di akar umbi ke atas keputusan ini.

Kerana ini bukanlah keputusan yang biasa-biasa, ia adalah keputusan yang kritikal berkenaan hidup mati UMNO dan melibatkan setiap ahli UMNO.

Saya telah berkata bahawa titah SPB YDP Agong adalah supaya kita membentuk kerajaan bersama PH apabila tiada kerajaan yang dapat dibentuk sebaik selepas PRU-15 tetapi SPB YDP Agong tidak bertitah supaya kita pergi pilihanraya bersama PH dan DAP, ini adalah dua perkara yang berbeza.

Namun dia (Zahid) tidak benarkan saya bercakap dalam mesyuarat Majlis Tertinggi dan telah menemplak saya beberapa kali dalam ucapan terbukanya dan di sidang-sidang media.

Oleh itu saya tidak ada pilihan selain menjawabnya juga secara terbuka. Zahid juga telah mencabar saya untuk berdebat dalam satu kenyataan akhbar. Apabila saya terima cabaran debatnya itu, dia pula takut untuk teruskan.

UMNO ini adalah parti keramat untuk orang-orang Melayu. Malangnya pada ketika ini Presidennya yang tidak mendapat mandat ahli telah membawa kapal UMNO ini ke kemudaratan dan telah kalah teruk beberapa kali dalam pilihanraya; daripada 88 kerusi sepuluh tahun lalu, kepada 54 kerusi pada PRU-14, dan kepada 26 kerusi pada PRU-15.

Pada PRU-14, UMNO telah kehilangan majoriti pengundi Malaysia. Pada PRU-15, UMNO telah kehilangan majoriti pengundi Melayu.

Dan pada PRN enam negeri baru-baru ini selepas Presiden UMNO membuat keputusan untuk pergi pilihanraya bersama PH dan DAP, UMNO telah kehilangan majoriti (70-80%) akar umbi dan penyokong tegar UMNO.

Keputusan Presiden tersebut telah menerukkan lagi keadaan dan membuatkan UMNO kalah dengan lebih teruk. Ini semua disebabkan dek kerana dia ingin membawa UMNO bersama PH dan DAP walaupun dengan menggadaikan perjuangan asal UMNO.

Zahid tidak mahu mengaku salah, dia kata orang-orang lain yang salah yang menyebabkan UMNO kalah dan malah orang-orang ini atau yang dipecatnya tersebut adalah umpama tikus membaiki labu.

Saya rasa perumpamaan tersebut patut ditujukan olehnya bukan kepada orang lain namun di hadapan cermin.

Sebelum ini saya telah berkata, jika keadaan ini berterusan, UMNO besar kemungkinan akan hilang kesemua 26 baki-baki kerusinya yang sedia ada pada PRU-16.

Apabila ini berlaku UMNO akan hilang maruah dan tidak ada apa-apa lagi yang boleh dibawa untuk bekalan, oleh itu UMNO akan kekal bersama PH dan menjadi parti tempelan.

Ini yang PH dan DAP mahu iaitu untuk menjadikan UMNO parti suruhan mereka.

Namun pada ketika itu iaitu selepas PRU-16 besar kemungkinan PH juga tidak akan berjaya membentuk kerajaan kerana orang-orang Melayu tidak lagi menyokong UMNO dan besar kemungkinan 26 kerusi-kerusi ini tidak akan dapat dikekalkan dalam PH/BN.

Madani
Anwar Ibrahim

Apabila ini berlaku impian Anwar dan Zahid untuk menjadi Perdana Menteri selepas PRU-16 akan tinggal menjadi kenangan. Dan tanpa kerusi dan tanpa kuasa, UMNO tidak akan lagi dapat memperjuangkan apa-apa.

Sekarang pun apabila Lim Kit Siang bersuara untuk Impian Malaysia dan DAP berkata ingin meneruskan Malaysian Malaysia, Presiden UMNO tidak berani berkata apa-apa untuk menegurnya.

Bayangkan apa akan jadi jika UMNO sudah tidak ada apa-apa kerusi nanti dan DAP pula kekal dengan 40 kerusi mereka.

Ramai sahabat dan juga wartawan bertanya saya apakah rancangan saya selepas ini. Jawapan saya ialah saya akan terus memperjuangkan penyatuan orang-orang Melayu di negara ini.

Orang-orang Melayu di negara ini telah lama berpecah-belah. Apabila kita berpecah belah kita menjadi lemah dan akan saling bercakaran antara satu sama lain, ini tidak baik untuk kelangsungan perjuangan orang-orang Melayu dan Islam di negara ini.

Orang-orang Melayu adalah majoriti di negara ini. Jika majoriti asyik bertelagah kerana berpecah-belah maka negara tidak akan stabil dan ini memberikan kesan negatif kepada perkembangan ekonomi dan masa depan negara.

Jika orang-orang Melayu tidak bersatupadu, Malaysia tidak akan Bersatu-padu dan kemakmuran negara sukar dicapai.

Untuk menyatupadukan Malaysia, kita perlu menyatupadukan kaum majoritinya dahulu iaitu orang-orang Melayu. Jika orang-orang Melayu Bersatu-padu, penyatuan nasional akan lebih mudah dicapai.

Setakat ini dahulu. Saya akan menulis lagi nanti. – ISHAM JALIL – SM

BACA “Saya bukanlah sebodoh yang dia sangka, berdebat di gelanggang berat sebelah”-Isham Jalil

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button