Nasional

Perihal Chin Peng dan pendatang haram – Kadir Jasin

DALAM era penerbangan murah di mana “semua orang boleh terbang”, wabak penyakit dan “pelarian moden” boleh datang dan pergi dengan hanya RM50 tambang.

Yang menyekat pembanjiran pelarian ekonomi ini hanyalah syarat-syarat perjalanan – pasport, visa, permit kerja dan cukai keluar-masuk.

Jadi, tanpa kita terperangkap dengan polemik mengenai sama ada bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya yang diharamkan, Chin Peng, wajar dibenarkan memasuki Malaysia, kita sudah pun berdepan dengan isu kebanjiran pelbagai anasir yang tidak diingini.

Apa pun alasan membenar atau tidak membenarkan Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua memasuki Malaysia, sentimen orang Melayu yang berupa bangsa induk dan majoriti jangan sekali-kali dipersendakan.

Wajib diingat, kerana sikap anti-komunis dan pengorbanan darah dan daging orang Melayulah, keganasan bersenjata PKM berjaya ditumpaskan, gagasan Republik Komunis Malaya digagalkan dan hari ini Malaysia menjadi tuan rumah kepada ribuan kapitalis dan jutawan Cina, India dan beberapa kerat Melayu.

Ini tidak menolak bahawa ada orang Cina dan India yang turut mengorbankan nyawa menentang pengganas komunis dan hakikat bahawa ada juga orang Melayu yang menyertai dan menyokong pemberontakan PKM.

Tetapi pokok pangkalnya anggota PKM adalah majoritinya Cina dan majoriti yang mati dan cedera melawan mereka adalah askar Melayu dan anggota tentera Komanwel.

Jadi, kalau pun ada undi bukan Melayu yang hendak diraih dan perikemanusiaan hendak dilaksanakan, jagalah dulu hati orang Melayu.

Janganlah hati orang Melayu yang baik hati itu terus dijeruk.

Berbalik kepada suasana semasa, negara kita sedang dibanjiri pendatang haram (ya, pendatang haram – illegal immigrants) daripada pelbagai benua dan negara.

Kalau pendatang haram, pendatang haramlah. Buat apa kita nak panggil pendatang tanpa izin? Di seluruh dunia, istilahnya adalah pendatang haram atau illegal immigrants bukan pendatang tanpa izin atau immigrants without permission.

Kenapalah kita ini baik dan berbudi sangat sampai orang pijak kepala kita?

Mereka datang dari Indonesia sebagai buruh. Habis permit mereka tidak pulang. Mereka datang dari Negeri China atas Visa Pelajar. Mereka jadi GRO, pelacur dan masuk ke kawasan pedalaman berkahwin dengan penanam halia dan penternak ayam.

Mereka datang dengan permit dari Bangladesh, India dan Pakistan, tetapi mereka jadikan negara kita batu loncatan masuk secara haram ke Australia, Amerika atau Eropah sehingga kita dicap melakukan penyeludupan manusia (human trafficking).

Bayangkan apa akan terjadi kalau kita benarkan “pelancong” dari negara raksasa yang miskin seperti China dan India masuk tanpa visa atau kita longgarkan syarat. Dalam sekelip mata mereka akan membanjiri negara kita yang kecil tetapi sangat baik hati ini.

Bayangkan, Malaysia ada 24 juta penduduk. China ada 1.3 bilion penduduk dan India ada satu 1.13 bilion penduduk. Sepatutnya kita mengetatkan syarat kemasukan pendatang daripada semua destinasi berisiko, termasuk pelancong yang semakin ramai melencong menjadi GRO, pelacur, perempuan simpanan, calon isteri dan pengemis.

Menang betul kerajaan telah membebaskan 27 sektor kecil perkhidmatan daripada syarat Dasar Ekonomi Baru, tetapi ini tidak bermakna kerajaan perlu membuka pintu negara untuk dibanjiri oleh pendatang yang tidak diingini seperti pelajar dan pelancong merangkap GRO dan pelacur.

Baru-baru ini akhbar New Straits Times menyiarkan berita mengenai jenayah bersindiket yang meraih berbilion ringgit setahun hasil pelacuran dan dadah.

Anggota sindiket ini tidak teragak-agak memangsakan kaum sebangsa mereka apatah lagi pelancong dan pelajar dari negara-negara miskin seperti China, India dan Indonesia.

Betul, banyak negara, termasuk negara-negara maju sedang membuka pasaran mereka untuk menarik pelaburan dan pekerja mahir.

Maka kita janganlah terus jadi bodoh dengan menliberalisasikan sektor perkhidmatan kita kemudian membuka pintu masuk negara kita kepada pelancong murah, kepada buruh dari Bagladesh yang diimport oleh sindiket, pengemis, GRO dan pelacur Negeri China dan penjaja jalanan dari Afrika.

Mungkin ada pihak yang cuba mempersendakan saya apabila mereka mengatakan cara terbaik menarik pelancong ialah dengan melonggarkan syarat perjalanan untuk penduduk negara raksasa seperti China dan India.

Saya harap, macam kata ungkapan Orang Putih, “they are pulling my leg” pada saat-saat Perdana Menteri sedang bersiap sedia untuk menjejaki Allahyarham ayahandanya ke Negeri China.

Jangan melawak dengan perkara macam ini. Bukan kita tidak mahu pelajar, pelabur atau pelancong dari Negeri China atau mana-mana negara, tapi kita kena pastikan agar bila kita buka pintu kuala, ikan siakap yang masuk dan bukan sampah sarap.

Ingat rintihan nenek moyang kita – kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kebuluran kerana menyesal dahulu kedapatan, menyesal kemudian tidak berguna.

Tulisan A. KADIR JASIN dalam blognya The Scribe A Kadir Jasin pada 30 Mei 2009.

https://kadirjasin.blogspot.com/2009/05/perihal-chin-peng-dan-pendatang-haram.html?fbclid=IwAR3ZjKKjWi-fLKhgE9YAIVQDc4bq6AgNCdj4myI0-9blXzMy-5BWQhq8oN0

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button