Perhatian perlu diberi kepada golongan rentan – Pemangku Raja Perlis
Selain inisiatif bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi, isu menangani kemiskinan rakyat dan membantu golongan rentan perlu diberikan perhatian lebih hebat. Antaranya melalui pendekatan penyediaan latihan kemahiran bagi menyediakan pekerja mahir dan separa mahir bertujuan memberikan peluang pekerjaan dan pendapatan baharu untuk keluarga golongan sasar yang terlibat.
Demikian titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli yang turut disertai oleh ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri dan Persekutuan serta swasta di sekitar Tambun Tulang baru-baru ini.
Berangkat sama mengiringi Baginda ialah anakanda yang juga Waris Kedua Negeri Perlis iaitu Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Kayuhan amal ini bertujuan untuk menyantuni dan menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf yang memerlukan serta merupakan satu usaha Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk mengurangkan kadar kemiskinan di Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan untuk singgah menyampaikan sumbangan kepada Mat Hassan Jusof, 85 tahun dari Kampung Sri Gelam, Noraini Kasa, 61 tahun dari Kampung Gobek dan Saad L. Abu Hashim, 80 tahun dari Kampung Titi Long Boh.
Para asnaf menerima bantuan wang tunai bernilai RM700, Kits MAIPs Peduli beserta dua kampit beras fidyah.
Tuanku Pemangku Raja turut berkenan mengadakan lawatan ke Homestay Tangga Layar yang terletak di Tambun Tulang. Dua unit rumah mini banglo yang dilengkapi dengan semua keperluan asas termasuklah penghawa dingin dan ruang tempat letak kenderaan.
Rumah inap ini menawarkan privasi kepada pelanggan, jauh dari hiruk pikuk ibu kota, dikelilingi sawah padi dan kehijauan serta pemandangan matahari terbit dan terbenam menjadikannya antara pilihan sewaktu cuti umum, cuti sekolah dan hujung minggu.