HARI ini di Mahkamah Persekutuan, 5 Panel Hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara telah menolak permohonan pasukan peguam pembelaan Najib untuk membawa bukti-bukti terbaharu (fresh evidence) setelah mendengar hujah dari kedua-dua belah pihak.
Mahkamah Persekutuan juga menolak permohonan Najib Razak untuk menangguh kes rayuan ini selama 3 bulan, setelah mendengar hujah peguam bela.
Peguam Bela Najib mengemukakan hujah bahawa bukti-bukti terbaharu ini amat penting kepada rayuan Najib Razak kerana ini akan dapat membuktikan Hakim Nazlan mempunyai konflik kepentingan (conflict of interest) dan berat sebelah (bias) terhadap yang tertuduh didalam Kes SRC International.
Walau bagaimana pun, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun kata, kelima-lima hakim yang mendengar permohonan ini, sebulat suara bersetuju menolak permohonan untuk mengemukakan bukti-bukti baharu tersebut kerana bukti-bukti tersebut tidak sampai kepada tahap yang difikirkan munasabah (threshold) serta tidak relevan kepada kes ini.
Tengku Maimun seterusnya menegaskan bahawa tiada sebarang bukti menunjukkan Hakim Nazlan mempunyai konflik kepentingan atau bias (berat sebelah) didalam kes SRC tersebut.
Tengku Maimun juga menjelaskan kelima-lima Hakim tidak bersetuju dengan cadangan bahawa menolak permohonan ini, berlaku ketidak-adilan (miscarriage of justice) terhadap yang tertuduh.
Perbicaraan Kes Rayuan ini bersambung hari Khamis ini. – SM