Perang maya rakyat Malaysia dengan Israel berjaya, PBB adakan Sesi Khas
‘PERANG’ secara maya yang dilakukan oleh rakyat Malaysia dalam mengetengahkan kezaliman dan kejahatan melampau Israel terhadap penduduk Palestin tidak sia-sia.
Menteri Luar Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn berkata, penerangan yang dilakukan oleh rakyat Malaysia di media sosial seperti Facebook dan Twitter secara berfakta telah menekan masyarakat antarabangsa untuk membuka mata terhadap kekejaman yang dilakukan Israel.
Menurutnya, hasil desakan di media sosial dan tekanan secara bersama yang diberikan oleh Malaysia, Indonesia dan Brunie membuatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) akan mengadakan Sesi Khas berhubung keganasan Israel terhadap penduduk Palestin.
“Alhamdulillah, usaha berterusan rakyat Malaysia menekan komuniti dunia serta mengecam kekejaman rejim Zionis Israel secara maya tidak sia-sia.
“Dimaklumkan bahawa malam ini (waktu Malaysia) Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Amerika Syarikat akan memanggil satu Sesi Khas Perhimpunan Agung PBB bagi membahaskan mengenai ‘Situasi Terkini di Timur Tengah’ dan ‘Soal Palestin’.
“Keputusan Presiden UNGA ini juga antara lain hasil desakan bersama ketiga-tiga pemimpin Negara Islam di Asia Tenggara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, Presiden Joko Widodo dan Kebawah Duli Tuanku Sultan Brunei Ahad lepas,” kata Hishammuddin.
Tambah beliau, keputusan itu menunjukkan bahawa sekiranya semua pihak bersatu akan memberikan kekuatan dalam mengubah pandangan masyarakat antarabangsa terhadap isu Palestin.
Justeru Hishammuddin meminta agar rakyat Malaysia tidak memandang rendah terhadap keupayaan suara mereka dalam isu antarabangsa.
“Keberkesanan desakan dan tekanan yang dilakukan Malaysia ini turut diakui sendiri Presiden Persatuan Kebudayaan Palestin Malaysia (PICOM) yang menyatakan rakyat Malaysia telah berjaya mengubah pandangan masyarakat antarabangsa terhadap Israel.
“Inilah kekuatan apabila semua memainkan peranan dan bersatu padu – di pihak Kementerian saya, Kementerian Luar Negeri telah menggunakan setiap ruang bagi mendapatkan resolusi kolektif organisasi-organisasi pelbagai hala.
“Cukup-cukuplah masyarakat antarabangsa berdiam diri. Apa yang berlaku sekarang jenayah perang. Apa yang berlaku sekarang ialah jenayah terhadap kemanusiaan. Ia mesti dikecam dan dihentikan. Rakyat Malaysia, jangan memandang rendah kekuatan suara anda. Teruskan usaha anda semua!” kata Hishammuddin bersemangat.
Sementara itu Hishamuddin masih berasa kecewa dengan sikap yang ditunjukkan Amerka Syarikat yang memveto resolusi mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) baru-baru ini.
“UNSC jelas gagal mencapai kesepakatan walaupun sudah tiga kali bersidang atas sebab kuasa veto satu negara sahaja. Ini amat mengecewakan!” tegas beliau.-SM