BeritaPendidikan

Penyelidik UPSI hasilkan pengawet berasaskan pegaga

Sekumpulan penyelidik dari Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan (UPSI) berjaya menghasilkan pengawet makanan semulajadi untuk buah-buahan dan sayur-sayuran  berasaskan herba pegaga.

Produk yang dikenali sebagai Centas dapat mewujudkan masyarakat yang lebih sihat dengan mengurangkan penggunaan bahan pengawet makanan yang berasaskan bahan kimia yang kini digunakan secara meluas.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menyifatkan inovasi yang dilakukan oleh penyelidik UPSI itu dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang amalan gaya hidup sihat menerusi penggunaan bahan pengawet yang tidak  berisiko terhadap masyarakat.

“Justeru, penemuan ini dianggap sesuatu yang membanggakan dan satu inovasi demi kebaikan masyarakat dalam penjagaan kesihatan,” katanya.

 

Penyelidikan yang diketuai oleh Ts. Dr Suzita Ramli bersama ahli kumpulannya iaitu Prof. Madya Dr. Shakinaz Desa, Dr. Noraine Salleh Hudin dan En. Wong Jun Xian, mendapat dana daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menurut Suzita, inovasi itu dilakukan untuk memastikan buah-buahan dan sayur-sayuran kekal segar dan tidak rosak dalam tempoh penyimpanan yang lama dan menjadikannya alternatif kepada bahan pengawet yang berasaskan bahan kimia.

Dari segi konsep Sains, inovasi ini terbukti mempunyai sifat antimikrobial dan antioksidan yang dapat merencatkan pertumbuhan mikroorganisma sekali gus mengurangkan kesan keperangan (browning effect) pada buahan dan sayuran.

Katanya, masyarakat perlu menyedari bahawa penggunaan pengawet makanan yang berasaskan bahan kimia  dalam tempoh yang panjang boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan manusia dan juga boleh mengganggu keseimbangan hidupan akuatik apabila sisa bahan pengawet ini disalurkan ke persekitaran air.

Oleh itu, katanya, inovasi penggunaan herba pegaga sebagai pengawet makanan idak lagi menjadi faktor kepada masalah kesihatan manusia kerana pengawet makanan semulajadi ini telah dibuktikan selamat bagi kegunaan manusia dan juga tidak mendatangkan kesan yang buruk kepada persekitaran air.

Pemilihan pegaga sebagai bahan utama produk Centas ini adalah berdasarkan sifat-sifat istimewa herba itu sendiri seperti meningkatkan peredaran darah dan juga untuk kesihatan kulit di mana ia telah dibuktikan di dalam kajian-kajian lepas,’ katanya.

Pegaga popular dalam masyarakat Malaysia dan kebiasaannya dijadikan sebagai ulam(dimakan mentah)terutamanya bagi masyarakat Melayu selain dikomersialkan sebagai minuman kesihatan dan produk kecantikan. Tambahan pula herba ini mudah ditanam dan menjadikan sumber bahan mentah bagi penghasilan pengawet semulajadi ini senang didapati.

Menurut beliau Centas  efektif memanjangkan jangka hayat dan kesegaran buah-buahan dan sayur-sayuran dan paling utama, pengawet ini tidak merubah warna, bau dan tekstur buahan dan sayuran malah sesuai digunakan di rumah, kilang makanan dan juga pengusaha jualan buah-buahan dan sayur-sayuran,

“Inovasi berkonsepkan “natural product” memiliki daya penarik kepada pengguna yang mengutamakan kesihatan dan ia mengurangkan risiko masalah kesihatan disebabkan penggunaan produk yang berasaskan bahan kimia di dalam sumber makanan.

Penyelaras (Unit Pengkomersilan), RMIC-UPSI, Ts. Dr. Kesavan Nallaluthan, berkata inovasi itu memenangi pingat emas di dalam pertandingan reka cipta International, Invention & Technology Exhibition (ITEX) yang diadakan pada 13 dan 14 Disember 2021 di Kuala Lumpur.

Selain diterbitkan di beberapa jurnal yang berimpak tinggi, Centas sedang dalam proses permohonan Utility of Inventiveness (UI).

“Kami menjangkakan Centas diterima baik oleh masyarakat dan juga pengusaha makanan kerana faedah yang ditawarkannya, malah mengalukan kolaborasi dari pihak industri supaya dapat disalurkan ke pasaran supaya semua pihak dapat menikmati manfaatnya ke arah kehidupan yang lebih selamat dan berteknologi tinggi.,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button