Penjualan aset TH: Tubuh suruhanjaya siasatan diraja, gesa SPRM siasat
Tabung Haji adalah milik umat Islam. Setiap pendeposit Tabung Haji walau bernilai RM1 berhak mengetahui apa yang berlaku kerana setiap wang dan aset Tabung Haji juga milik umat Islam.
Justeru, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat Muhammad Khalil Abdul Hadi mendesak kerajaan menubuh Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat penjualan aset-aset Tabung Haji.
Ini termasuk penamatan operasi dan perkhidmatan empat buah hotel milik Tabung Haji di Kuala Terengganu, Pulau Pinang, Alor Setar dan Kota Kinabalu serta penjualan beberapa ladang yang diumumkan baru-baru ini.
Menurut Muhammad Khalil, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga harus menyiasat perkara tersebut kerana ia melibatkan kepentingan awam terutamanya umat Islam di negara ini.
“Kita tidak mahu semakin hari semakin berkurangan aset milik Tabung Haji namun dalam masa sama Tabung Haji tidak berupaya menjana pendapatan untuk menanggung kos operasi, pembayaran hutang dan menjaga kebajikan para pekerjanya akibat daripada penjualan aset-aset ini.
“Kita tidak mahu aset-aset ini dijual sewenang-wenangnya tanpa diteliti kewajarannya. Kita tidak mahu pelaburan Tabung Haji rugi dan juga masa depan Tabung Haji tergadai. Selamatkan Tabung Haji, jangan biar Tabung Haji kecundang di tengah jalan,” kata Ahli Dewan Udangan Negeri Batu Burok itu.
Beliau turut mendesak Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa memberikan penjelasan yang terperinci berkenaan penutupan hotel-hotel tersebut.
“Apakah hotel-hotel tersebut akan dijual kepada pihak ketiga? Oleh itu penjelasan yang terperinci diperlukan agar rakyat Malaysia terutamanya umat Islam tidak gusar dan kecewa dengan keadaan Tabung Haji.
“Kita tidak mahu kerisauan dan kegusaran yang sedang bermain difikiran pendeposit Tabung Haji dan juga umat Islam di dalam negara akan menjejaskan kepercayaan mereka terhadap Tabung Haji,” kata Muhammad Khalil.
Empat hotel milik Tabung Haji akan diuruskan anak syarikat milik sepenuhnya Urusharta Jamaah Sdn. Bhd., (UJ), UJ Property Management Sdn. Bhd., (UJPM).
Hotel tersebut adalah TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Bayan Lepas, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar, Kedah dan TH Hotel & Convention Centre Kuala Terengganu, Terengganu.
Antara sebab utama penutupan hotel-hotel tersebut adalah berikutan pengambilalihan aset-aset Tabung Haji yang dikatakan “Non Performing Assets” oleh syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) berikutan pelan penyusunan semula Tabung Haji.
Pelan penyusunan semula tersebut menyaksikan Tabung Haji memindahkan aset berjumlah RM9.63 bilion kepada UJSB dan Tabung Haji akan menerima sejumlah RM19.6 bilion dalam bentuk sukuk dan RM300 juta dalam bentuk tunai.
Di antara aset-aset tersebut ialah sebidang tanah seluas 1.568 ekar di TRX, aset perladangan, hartanah dan juga ekuiti.-SM