Peniaga pertikai tindakan video gerai burger Sungai Buloh
Tular pada hari ini video seorang pengasas sebuah gerai menjual burger yang menyatakan rasa tidak puas hatinya susulan tindakan sita yang diambil pihak berkuasa.
Menerusi video tersebut, lelaki yang dikenali sebagai Mohd. Asri Hamid itu turut mempersoalkan mengapa gerai lain yang berniaga di tepi jalan tidak disita dan bebas berniaga tanpa sebarang tindakan undang-undang.
Malah, lelaki itu turut mendedahkan aktiviti penjudian di sekitar kawasan tapak perniagaannya hingga membawa kepada sidang akhbar khas oleh Ibu pejabat Polis Daerah Sungai Buloh.
Namun, lain pula ceritanya selepas beberapa peniaga di kawasan tersebut mula menyatakan rasa tidak puas hati terhadap apa yang dilakukan lelaki berkenaan.
BACA> PKPP: Bekalan barangan keperluan mencukupi, mudah diperoleh
Menerusi pemilik Facebook Najib Bijan, dia mendedahkan bahawa dia dan peniaga-peniaga lain sudah tidak dibenarkan berniaga di sana.
“Kerana kebodohan dan kesombongan Hot Burger, peniaga melayu lain menjadi mangsa,” katanya.
Lelaki itu turut memuatnaik sekeping gambar yang menunjukkan gerai burger itu sudah kembali berniaga seperti biasa hari ini.
Najib di ruangan komen juga memberitahu bahawa peniaga burger itu yang ingkar dengan arahan hingga membuatkan Majlis Bandaraya Shah Alam terpaksa mengambil tindakan.
BACA> Isu berkaitan Filipina dan Sabah diselesai secara diplomatik
“Sebelum ini, MBSA beri kebenaran berniaga dengan syarat lepas berniaga perlu tutup, kemas dan jangan tinggalkan apa-apa barang niaga di situ.
“Tapi dia tinggalkan gerai di situ dan disebabkan itu MBSA ambil tindakan sebelum dia tampil dan tularkan video tersebut.
“Hari ini, semua yang berniaga di situ terpaksa tutup perniagaan disebabkan video tular itu dan MBSA terpaksa menarik semula budi bicara untuk kebenaran berniaga di sana,” katanya. -SM